Followers

Tuesday 22 November 2016

Aku Tetap Setia - Bab 1


Bab 1


Cadar yang baru ditukar, dikemaskan. Bantal yang diletakkan di atas lantai dicapai dan ditepuk-tepuk sebelum disusun di atas katil. Selesai, cadar kotor yang diletakkan di atas lantai dikutip pula dan dimasukkan ke dalam bakul kain sebelum tubuh dipalingkan memandang suaminya semula.

“Abang sure nak keluar dengan anak-anak aje? Tak nak Nia ikut?” Ku Ariff yang sedang bersiap ketika itu dipandang dengan kerutan di dahi. Sejak beberapa hari lepas lagi suaminya bukan main teruja lagi dengan perancangannya itu. Malam tadi pula siap bermesyuarat anak-beranak membincangkan program mereka sepanjang hari ini. Dia yang mendengar, bengang saja rasa.

Tidak membalas soalan isterinya, Ku Ariff mengangguk. Butang baju kemejanya dipasang.

“Dengan baby sekali?” Memikirkan si bongsu yang berusia sembilan tahun itu, dahi Dania semakin berkerut. Sudahlah anak gadis kecilnya itu agak lasak budaknya.

“Mestilah. Hari ni hari untuk abang dan anak-anak have fun sama-sama.” Ku Ariff masih beriak selamba. Rambutnya dikemaskan pula.

Dania mencemik. Bukan main lagi. Have fun sama-sama konon sampai sanggup tinggalkan dia di rumah keseorangan. Selama ini kalau hendak ke mana-mana dia tidak pernah dipinggirkan tetapi boleh pula kali ini dia ditinggalkan. Benci betul! marahnya dalam hati.

“Yalah, pergilah have fun. Nia okey aje tinggal dekat rumah sorang-sorang,” balasnya seakan berjauh hati. Bakul baju terus dicapai. Mana tahu bila buat merajuk akhirnya Ku Ariff akan mengalah dan mengajaknya untuk pergi sekali. Lagipun mana aci mereka semua berseronok tetapi dia ditinggalkan!

Melihat reaksi isteri, Ku Ariff tersenyum. Perlahan-lahan langkah diayun dan isterinya dihampiri. Sebaik tubuh kecil molek itu didekati, pinggang isterinya terus dirangkul dari belakang.

Terkejut diperlakukan begitu, Dania tersentak sehingga bakul kain terlepas dari tangan. Dari sisi, suaminya itu dijeling. “Terkejut Nia!” marahnya.

Ku Ariff buang senyum. Kepalanya dirapatkan ke kepala isteri dan rangkulannya semakin dikemaskan. “Abang jarang sangat dapat luangkan masa dengan anak-anak sejak akhir-akhir ni. Jadi abang nak gunakan hari ini untuk mendengar cerita-cerita mereka sepanjang beberapa minggu kebelakangan ni. Kalau sayang ada, tentu mereka lebih suka bercerita dengan sayang. Beri abang
peluang untuk tunjukkan kepada anak-anak yang abang sayang dan ambil berat tentang mereka juga. Boleh, kan?” pujuk Ku Ariff lembut. Kepala isterinya dikucup.

Mendengar bicara lembut suami, Dania hela nafas dan perlahan-lahan kepalanya diangguk. Dia kadang-kadang terlalu mengikut emosi dan merajuk tidak kena tempat. Tengoklah macam sekarang, cemburu tidak tentu pasal padahal suami keluar dengan anak-anak, bukan dengan 
orang lain!
“Okey,” ucapnya sepatah dengan suara yang sudah berubah lembut.

Ku Ariff tersenyum. Bukan susah sebenarnya untuk memujuk isterinya itu. Lagipun dia dan anak-anak sedang merancangkan sesuatu yang istimewa untuk isterinya, jadi mana boleh Dania ikut sekali. Rosak pelan mereka nanti.

“Hari ni abang beri sayang rehat tanpa memikirkan hal anak-anak. Biar abang saja yang uruskan mereka. Kalau sayang nak pergi spa, saloon atau butik, pergilah. Abang izinkan,” bisiknya lagi dan pelipis isterinya dikucup pula.

“Okey, tapi Nia nak berehat dekat rumah ajelah. Malas nak ke mana-mana. Tapi Nia nak pesan ni, abang tengok dia orang betul-betul. Aidil tu selalu leka kalau tengok apa-apa. Baby pula lasaknya mengalahkan budak lelaki,” pesannya mengingatkan. Bimbang juga dia kalau suaminya tidak terlayan nanti. Airiel pula selalu leka dengan gadgetnya. Bukannya boleh diharap untuk melihat kedua-dua orang adiknya itu.

Mendengar kata-kata isteri, Ku Ariff melepaskan keluhan kecil. “Tengok, sayang lebih faham mereka daripada abang. Kadang-kadang abang cemburu dengan sayang. Anak-anak pun lebih sayangkan mama dia daripada abang.” Ku Ariff pula berjauh hati.

Dania tergelak. Tubuhnya dipusingkan untuk menghadap suami. Tangannya diangkat dan kedua-dua belah  pipi suami dipegang.

“Siapa kata anak-anak cuma sayang Nia? Mereka pun sayangkan abang. Dan Nia tahu anak-anak faham dengan kesibukan papa mereka. Lagipun abang berusaha keras untuk mereka juga, kan?” pujuknya. Pipi suaminya diusap manja.

Termakan pujukan isteri, perlahan-lahan nafasnya dihela. Sebelah tangannya diangkat dan rambut Dania dibelai. “Selesai projek yang sedang abang uruskan ni, kita pergi bercuti, ya. Dah lama kita tak bercuti bersama-sama,” ucapnya berjanji.

Dania mengangguk. “Okey,” balasnya sepatah. “Dah, anak-anak mesti tengah tunggu abang tu. Go and have fun,” ucapnya lagi dan kakinya dijinjit sebelum dahi dan pipi
suami dikucup.

Diperlakukan begitu, bibir Ku Ariff terus merekah dengan senyuman. “Sorry, abang tinggalkan sayang hari ni,” bisiknya sambil merapatkan dahi mereka.

“It's okay, abang. Nia tak kesah. But make sure abang balik sebelum maghrib. Nia akan masak something special for dinner dan kita makan sama-sama nanti,”pesannya.

“Kata nak rehat?” Ku Ariff kerutkan dahi.

“Untuk suami dan anak-anak, Nia tak kesah penat,” ucapnya dan dada suami diusap-usap.

Sekali lagi Ku Ariff hela nafas. Serentak itu tubuh isterinya dibawa ke dalam pelukan.
“Abang sayangkan Nia dan abang bangga memiliki Nia sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak abang. Thank you sayang untuk semua yang sayang korbankan buat kami. Dan abang sentiasa mendoakan syurga buat sayang di akhirat  nanti,” bisiknya tulus.

“Nia pun sayangkan abang dan anak-anak. Abang dan merekalah syurga Nia di dunia ini. Thanks abang for everythings.” Pelukan suami turut dibalas erat dan kepalanya direbahkan ke dada suami.

Ku Ariff semakin mengemaskan lagi pelukannya dan kepala isterinya dikucup. Bukan sekali tetapi berkali-kali untuk menzahirkan rasa kasihnya. Ya, kasih sayangnya kepada Dania bukan sedikit tetapi sudah tidak terluah oleh kata-kata. Malah perpisahan sementara mereka dulu telah menguatkan lagi kasih sayang antara mereka. Tiada rahsia, tiada curiga, hanya kepercayaan dan kasih sayang sahaja yang menjadi kunci kebahagiaan mereka selama ini.

Tok-tok!

Sedang leka melayan perasaan, tiba-tiba terdengar pintu bilik mereka diketuk. Dania dan Ku Ariff tersentak dan laju kepala ditolehkan ke pintu.

“Mama!”

Terdengar jeritan anak gadis kecilnya itu, Dania lepaskan tawa.

“Baby... Baby... Selalu kacau kalau papa dengan mama nak bermanja,” bebel Ku Ariff bersama gelengan.

“Mesti dia dah bosan sangat tunggu abang tak keluar-keluar.” Dania membalas dengan tawa yang masih bersisa. Pelukan suaminya dileraikan. “Jom, kita breakfast dulu sebelum abang keluar,” ajaknya. Baju kemeja suami dikemaskan.

Ku Ariff mengangguk. Pipi Dania dikucup sekilas kemudian tangan isteri diraih dan dipimpin untuk keluar. Sebaik pintu dibuka, Ku Amna sudah menanti di hadapan pintu dengan wajah cemberut.

“Lama baby tunggu papa!” marahnya dengan mulut memuncung sambil tangan dipelukkan ke tubuh.

Ku Ariff tergelak. Isteri yang juga sedang ketawa di sebelahnya dikerling.

“Sorry sayang, papa tengah bersiap tadi,” pujuknya. Jemari isteri dilepaskan dan Ku Amna terus didukung.

“Baby dah siap lama.” Ku Amna masih terus membebel dengan wajah yang masam mencuka. Tangan yang masih memeluk tubuh semakin dikemaskan.

Melihat wajah cemberut si kecil kesayangannya itu, tawa Ku Ariff terhambur lagi. Kepalanya digeleng. “Okey, okey... Papa minta maaf. Jom, kita breakfast dulu lepas tu kita pergi jalan-jalan.” Pipi si kecil itu terus dikucup. Comel, raut wajahnya saling tak tumpah seperti Dania. Tetapi mata coklat jernihnya itu mewarisi mata arwah nendanya. Ku Amna, walaupun sudah berusia sembilan
tahun tetapi tubuhnya kecil molek sahaja. Samalah seperti mamanya. Lihat sahajalah Dania, walaupun sudah menginjak empat puluh dua tahun tetapi tetap kelihatan seperti baru di awal 30-an dek tubuh kecil moleknya. Sebab itulah kalau mereka berjalan berdua, memang dia tidak akan lepas jemari isterinya. Takut kalau-kalau ada mata-mata nakal yang melirik ke arah isterinya. Hurmmm... Hendak mengurat isterinya? Langkahlah mayat dia dulu!

Ku Amna terus tersenyum dan leher papanya dirangkul. Kemudian pipi papanya dikucup. “Sayang papa,” ucapnya manja.

Diperlakukan begitu senyum Ku Ariff terukir semakin lebar.  “Sayang dia juga...” Pipi Ku Amna digomol sehingga si kecil itu mengekek ketawa.

Melihat kemesraan suami dan si kecilnya, Dania tersenyum. Sengaja hendak mengusik, pipi Ku Amna dicubit perlahan.  “Mengada-ada,” ejeknya bersama cemikan.

“Mamaaa!” Terjerit Ku Amna diperlakukan begitu dan wajahnya kembali mencuka. Pipinya diusap. Merajuk, tubuh papanya terus dipeluk seeratnya dan kepalanya disembunyikan di bahu papanya.

Terhibur dengan perlakuan isteri dan anak, Ku Ariff tergelak sahaja. Bagaimanalah hidupnya tidak ceria kalau beginilah situasi dalam rumah tangganya? Melayan keletah anak-anak yang bermacam ragam dan juga manja isteri yang semakin menjadi-jadi saban hari, sungguh dia bahagia. Ya, demi  Tuhan dia bahagia malah terlalu bahagia. Alhamdulillah... Syukur dia di atas nikmat yang telah Allah kurniakan buat mereka sekeluarga.  

Monday 21 November 2016

Prolog

Villa Cinta, Ara Damansara...




“Dah cepat, nanti lambat. Pak Cik Amin dah tunggu tu.” Ku Airiel, Ku Aidil dan Ku Amna yang masih menghadap makanan masing-masing dipandang kemudian kepala ditolehkan memandang suami yang sedang leka membaca akhbar di sebelahnya.

“Abang nak air lagi?” Lembut Dania bertanya. Piring cawan yang sudah licin airnya ditolakkan ke tengah sedikit.

Ku Ariff menoleh. Akhbar dijatuhkan sedikit kemudian kepala digeleng. “Cukup dah. Thank you,”
balasnya sambil tersenyum. Akhbar di tangan dilipat dan diletakkan ke atas meja. Pandangan terus dibuangkan ke arah anak-anak yang sedang tergesa-gesa bangun dari tempat duduk masing-masing. Begitulah rutinnya saban hari dan demi Tuhan, ia sangat membahagiakan. Dapat melihat anakanak
membesar di hadapan mata, sangat besar rahmatnya.

“Kami pergi dulu, pa.” Ku Airiel bersuara sebaik papanya dihampiri. Tangan dihulurkan dan tangan papanya dikucup. Ku Aidil dan Ku Amna mengekor dan melakukan perkara yang sama. Ku Ariff mengangguk sahaja. Dahi Ku Aidil dan Ku Amna dikucup. Ku Airiel sejak berumur lima belas tahun
sudah tidak mahu dipeluk dan dicium lagi. Mungkin kerana usianya yang sudah menginjak dewasa, dia malu diperlakukan begitu. Sebagai lelaki dia faham dan sangat mengerti akan perubahan tersebut.

“Ma...” Tangan mamanya disalami pula dan pipi mamanya dikucup.

“Hati-hati dan jangan nakal-nakal,” pesan Dania mengingatkan.

Ku Airiel tersenyum kemudian kepalanya dianggukkan.

Sebaik Ku Aidil menyalaminya, dahi anak lelaki keduanya yang berusia 11 tahun itu terus dikucup. “Jangan nakal-nakal dekat sekolah.” Ku Aidil turut dititipkan dengan pesanan yang sama. Ku Aidil tersengih sahaja seperti kebiasaannya. Pandangan dibuangkan ke arah anak perempuan bongsunya pula. Melihat wajah cemberut anak gadis kecilnya itu, senyuman di bibir semakin melebar.

“Anak mama yang sorang ni kenapa buat muka macam tu?” Tubuh Ku Amna ditarik rapat ke arahnya dan rambut anak gadis kecilnya yang berusia sembilan tahun itu diusap.

“Mengantuk...” Perlahan Ku Amna bersuara dengan mata yang seakan sukar hendak dibuka. Tubuhnya terus  direbahkan rapat ke arah mamanya. 

Dania tergelak dan suami yang juga sedang tergelak dipandang. “Baby pergi sekolah dulu, ya. Balik nanti boleh tidur,” pujuk Dania lembut. Rambut Ku Amna yang ditocang dua itu diusap perlahan-lahan. Tubuh Ku Amna ditolakkan ke hadapan sedikit kemudian dahinya dikucup. “Sayang dia,” ucapnya dan pipi Ku Amna dikucup pula.

Sambil menggosok mata dan dengan riak yang masih seperti tadi, Ku Amna mengangguk.

“Baby cepat, nanti abang lambat!” laung Ku Airiel dari luar.

“Dah, jom. Abang Airiel dengan Abang Aidil dah tunggu tu.” Dania terus berdiri. Tangan Ku Amna  terus diraih dan dipimpin menuju ke luar.

Ku Ariff yang hanya memerhati sedari tadi, ikut bangun dan turut mengekor di belakang isterinya. Walaupun kakinya sudah sembilan puluh peratus pulih tetapi langkahnya masih tidak boleh selaju dahulu dan tidak boleh terlalu lasak. Baginya itupun sudah cukup memadai daripada terpaksa bertongkat seperti dulu.

“Baby masuk kereta, ya.” Ku Amna terus dipimpin sehingga si kecil itu masuk ke dalam perut kereta. Daun pintu kereta terus ditutup. Melihat monyok sahaja raut muka si kecil itu, Dania menggeleng dan tersenyum. Nasib baik beg sekolahnya sudah dibawa Ku Airiel dan diletakkan ke dalam kereta siap-siap. Kalau tidak, tentu beg sekolahnya pun ditinggalkan apabila moodnya begitu. Baby... Baby... bisiknya bersama gelengan.

“Bye ma, pa.” Ceria Ku Aidil bersuara dari dalam kereta. Tangannya dilambaikan dengan senyum lebar di bibir.

Ku Airiel yang duduk di bahagian penumpang hadapan turut melambai. Ku Amna pula hanya mematikan diri sambil bersandar lesu di tempat duduknya. Dania pamer senyum dan tangannya turut
dilambaikan. Ku Ariff yang berada di sebelah isterinya turut melambai sama. Sebaik Estima putih, kereta kegunaan keluarga mereka itu hilang dari pandangan, bahu isterinya terus dirangkul dan tubuh isterinya ditarik rapat ke arahnya.

“Tak sangka begitu cepat masa berlalu. Anak-anak pun dah semakin membesar,” luah Ku Ariff bersama helaan nafas perlahan. Syukur. Ya, dia amat bersyukur atas segalagalanya. Apa tidaknya, dia telah melalui liku-liku hidup yang bermacam-macam warna dan perisa sebelum akhirnya dia ketemu bahagia bersama isteri tercinta. Alhamdulillah... Semuanya itu kerana Allah masih sayang. Terima kasih Allah untuk nikmat-Mu yang tidak terhingga ini, bisiknya dalam hati.

Dania tersenyum. Kepalanya terus direbahkan ke dada suami. “Bila anak dah membesar itu tandanya kita pun dah semakin tua, abang,” bisiknya dengan tawa kecil di bibir.

Ku Ariff turut tertawa dan mengangguk mengiakan. Dahi isteri dikucup mesra. Betullah seperti apa
yang isterinya perkatakan, dia sendiri pun sudah berusia lima puluh lapan tahun sekarang. Bila-bila masa sahaja boleh dijemput oleh-Nya menuju negara abadi. Ermmm... Entah sempat atau tidak dia melihat Ku Aidil dan Ku Amnamembesar di hadapan mata. Dan entah sempat atau tidak dia melihat Ku Airiel berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Allah, hanya Dia Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Sehingga mana kehidupannya dan bila tiba ajalnya. Semua itu rahsia-Nya dan sebagai hamba, dia perlulah reda walau
apapun yang telah dituliskan untuknya..

Thursday 11 August 2016

Kuching with love

Assalamualaikum...

Lama tak bersiaran. Asyik up tentang entry n buku aje kan? So kali ni nak tulis tentang aktiviti bersama pembaca yang berlangsung pada tahun lepas di Kuching, Sarawak. Lepas ni kita cerita event kat PBKL plak ya....so, check it out and scroll ke bawah untuk cacatan seterusnya... ;)



Atas tu poster pemberitahuan tentang kedatangan kami ke Kuching, Sarawak...So, that is the date but we came early...tak menyabar punya pasal. Maklumlah 1st time menjejakkan kaki ke Kuching so keterujaannya tu sangatlah keterlaluan...haha



Perjalanan kami bermula pada 25 Disember 2015.  Kami tu, I dan one of Anaasa 'orang besar', E namanya. Satu huruf jer. Senang jugak nak nyebutnya. hehe... 
Kami berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan. Since flight ke Kuching dalam pukul 11 lebih makanya seawal 5.30 pagi  kami dah menapak ke LTSHAS untuk penerbangan pukul 6.45 pagi.  Kang tertinggal flight ke Kuching, haru! 
Ha, atas tu muka tak cukup tidur plus muka baru bangun tidur..... heh! Tapi sempat mandi tau...ekekeke


Ai dengan mummy Wan Tijah di  balai berlepas KLIA sementara menunggu penerbangan kami...





Haaaa...inilah dia ahli2 rombongan cik kiah kami...yang depan sekali tu penulis Anarif, yang tulis buku Aku Bulan Dia Bintang, Lulu Marjan dan...sorry tak ingat! ampun Najjah.... Kalau nak tahu dia ni memang kaki selfie, welfie dan seangkatan  dengannya.... :D 


Yeayyyyy...dah kluar  dari balai ketibaan...yippieee tak sabar nak jalan2. Nak beli itu...nak beli ini...bla..bla..bla....heh!



Nampak tak betapa excited nya kami nak try mee kolok... haha

Selalu dengar orang sebut mee kolok n finally I dapat makan jugak. Ini mee kolok kat seberang sungai. Rasanya? Sangat-sangat sedap sampai teringat2 lagi...uwaaaaaa...kenapalah nak makan mee kolok kena naik flight???? 


Ini gambar kami selepas penat soping ikan masin terubuk dan kek lapis Sarawak.  Excited giler padahal beli ikan masin dan kek lapis aje pun...hahahaha...but seriously, kami sangat2 teruja...  


Penat jalan shopping ikan masin dan kek lapis Sarawak, kami dok ronda kat sungai naik bot...ada banyak gambar tapi sayangnya gambarnya semua dah ter DELETE....so ini jer yang ada... uwaaaaaaa!



Chaikue ni memang ohsem giler rasanya...aduhhhhhh! serius teringin nak makan lagi tapi apakan daya, jauhnya di Kuching Sarawak sana. Kalau tahu ada yang jual chaikue ni di kuantan, silalah bagitau...I teringinnnn! 


Restoran TopSpot...ramai giler manusia dekat sini. Ada yang rekomen kami makan dekat sini dan kami pun pergilah. Nasib baik dari hotel kami jalan kaki aje walau lenguhlah juga lebih-lebih lagi terpaksa memanjat tangga yang macam gunung tingginya....n yang kelakarnya, lift ada tapi kami yang tak tahu... jakun betul! hahaha

Oh ya, makanan kat situ memang best...sesaper yang datang Kuching, silalah singgah makan di situ ya...recommended! berbaloi-baloiiiii... :) 
Dalam gambar tu I tak ada sebab I yang tukang ambil gambar. 


Ni tengah bersiap nak ke tempat event...


Sebelah I tu penulis Nuril Bahanudin..yang tulis Novel Kasut Hitam Topi Pink...sebenarnya dah banyak juga buku yang dia tulis sebelum ni cuma I yang tak ingat tajuknya apa...Arggghhh, pity me! 


Posing2 dengan mummy Wan Tijah kat depan City One Mall... 


Yeayyyy, kami dah sampai! ;) 


With one the reader...Ya Allah, ini ajelah gambar yang ada...yang lain2 semua dah tak ada...uwaaaaaaaa..sedihnya!

Terima kasih ya yang sudi jumpa I masa event tu. Ramai, sampai I tak boleh nak recall semuanya. Seiously, rasa terharu sangat dengan kehadiran anda2 semua. Tq kepada yang sudi beri saya ole2 dari sana.  Tq very much...hug and kisses from me...  




Okey, ini pula aktiviti malam kami. Jalan2 cari makan. Heh! 
Orang kata datang Sarawak mesti kena makan aiskrim gula apong. Nasib baik juga, kedai aiskrim apong yang terkenal di Kuching letaknya tak jauh dari hotel. So, lepas solat, kami pun apa lagi, terjah terus kedai tu...dan itulah hasilnya. Dan I tell you what, aiskrim ni memang sedap amatttt. Nasib baik masa tu I tengah sakit kepala kalau tidak mesti lebih dari satu cawan tu I makan... rindunya nak rasa aiskrim tu lagi..


Ini pula menu kami yang seterusnya...RJ Ayam Bakar. Salah satu kedai makan yang popular juga di Kuching. Dan jaraknya dengan kedai aiskrim apong tadi dekat sangat. tak sampai 1000 langkah pun..hahaha.
Rasanya? Sangat2 best lebih2 lagi sup tulang tu. Siapa yang pergi sana bolehlah try. Tak rugi tau. Harga pun berpatutan... 


Dan akhirnya, tibalah masa untuk balik. Cer tengok tu, datang satu lugage aje tapi balik dah tambah lagi satu. Kalau travel memang begitulah selalunya. ;( 
Masa ni I kena migrain teruk. Maybe sebelum datang ke Kuching lagi dah tak cukup tidur so bila dah terlalu aktif, makan banyak, kesihatan pun terganggu. Makanya, sebab itulah masa balik tak ada gambar. Sebab masa tu muka toya sangat2...hahahaha

Kesimpulannya dari pengembaraan yang singkat ini, apa yang boleh I katakan, I sangat suka Kuching...bertemu dengan orang2 yang baik, ramah dan ikhlas membantu. Dapat rasa makanan2 yang sedap dan yang jarang dijumpai di negeri sendiri memang sesuatu yang mengujakan. 

Insya-Allah, suatu masa nanti I akan ke Sarawak lagi untuk meneroka keindahannya pula. Di sini juga I ingin menzahirkan rasa terima kasih yang terhingga kepada kak Asmawarti Parlan, mama Puteri Novella kerana sudi membawa kami jalan2. Terima kasih sangat kak untuk masa yang diluangkan. Jasamu akan selalu ku kenang. :) 

Jadi, sampai jumpa lagi di lain waktu...I left Kuching with Love and sweet memories and tq guys for everythings... 






















Friday 15 July 2016

Terlerainya Satu Janji - Bab 1






Bab 1

“Hurmmm…” nafas dihela panjang dan tubuh direbahkan ke sofa.
            Perlahan-lahan mata dipejamkan seketika untuk melepaskan lelah. Gayanya macamlah buat kerja teruk sangat padahal hanya menolong Ilham mengemas meja makan sahaja. Itu pun hanya menolong mengangkat pinggan ke singki.
            Sejak dia mengandung, Ilham langsung tidak membenarkannya melakukan kerja yang berat-berat. Hampir semua kerja rumah, Ilham yang lakukan. Kata Ilham, dia bimbang kandungannya terganggu. Di kedai pun Ilham sudah pesan pada Kak Aina siap-siap.
            “Jangan bagi Hannah kerja kuat sangat kak. Jangan bagi dia angkat pasu yang berat-berat. Jangan biar dia bergerak lasak sangat.”
            Ya Allah, dia yang mengandung tetapi Ilham yang melebih-lebih. Okay fine, anak dalam kandungan dia memang anak Ilham tetapi suaminya itu over sangat kut! Bukan itu sahaja, sejak dia mengandung, macam-macam pantang larangnya. Ingat emak mentuanya sahaja yang banyak pantang larangnya rupa-rupanya Ilham pun lebih kurang juga. Pening kadang-kadang dia hendak mengikut. 
“Sayang, jangan lilit tuala dekat leher kalau tak nak tali pusat anak terbelit. Nanti nak bersalin susah.”
“Sayang, nak buka plastik jangan tebuk macam tu. Buka ikatannya elok-elok. Nanti baby keluar ikut tingkap.”
Sayang, jangan buat itu… jangan buat ini…
Ya Allah! Dia dah rasa macam kahwin dengan orang zaman dahulu kala. Semuanya tak boleh. Semuanya tak kena. Masalahnya Ilham baru nak masuk 29 tahun tetapi kenapa fikirannya macam… orang tua!
Haih! Terimalah hakikat yang kau kahwin dengan orang kampung Hannah, desisnya.
Dia bukan menyesal berkahwin dengan Ilham cuma rimas dengan sikap suaminya yang begitu tapi dia ikutkan sahaja. Ilham, kalau membebel bukan macam dia. Tutur katanya lembut sahaja dan penuh kata-kata nasihat. Itulah sebabnya dia jadi tidak betah untuk tidak mengendahkan pesanan-pesanan suami. Bab itu Hannah memang seperti isteri misali walaupun dalam diam dia memprotes tak puas hati.
“Penat?”
Terdengar bisikan lembut di telinganya, Hannah buka mata semula dan menoleh ke sebelah. Sebaik terpandangkan Ilham, senyuman dipamerkan. Manis dari kebiasaan. Muka dicemikkan manja dan kepala dianggukkan.
Ilham turut tersenyum. Tubuh isteri ditarik rapat ke arahnya. Tangannya dibawa ke bahu isteri dan dipeluk erat. Selesa diperlakukan begitu, Hannah rapatkan kepalanya ke dada Ilham dan tangan dilingkarkan kemas ke pinggang suami.
“Anak ayah jangan nakal-nakal duduk dalam tu ya. Kesian umi,” perut Hannah diusap lembut.
Mendengar kata-kata suami, Hannah terus angkat kepala dan tubuhnya ditegakkan.
“Abang sebut apa tadi?” wajah Ilham direnung tajam. 
Hish, tiba-tiba terus hilang mood hendak bermanja.
Terjongket kening Ilham melihat reaksi isteri yang sedang tajam merenungnya. Dia sebut apa sehinggakan riak Hannah berubah seperti itu? Otak mula mengingati kembali setiap patah perkataan yang dituturkan tadi. Blank!
“Abang sebut apa?” soal Ilham hairan.
“Tadi tu… ada abang sebut.” Hannah tidak puas hati.
Boleh pulak Ilham buat muka blur macam tu? Memang sengaja nak buat dia marah.
Bahu dijongketkan Ilham. Sungguh dia tidak tahu apa yang disebutnya sehingga begitu reaksi isterinya.
“Alaaa…abang ada sebut tadilah,” rengekan Hannah berubah menjadi manja. Tangan Ilham digoyang.
“Okey, okey…cuba sayang beritahu apa yang abang sebut tadi,” pujuk Ilham masih berlembut.
Tubuh isteri ditarik semula lalu dibawa ke dalam pelukan tapi Hannah terus mengeraskan tubuhnya.
“Abang sebut umi,” balasnya sambil menekankan perkataan ‘umi’ sedikit keras.
Ilham memandang isteri dengan dahi berkerut. Salahkah apa yang dia sebutkan? Rasanya tak salah pun apa yang disebutkannya tadi, fikir Ilham.
Lama dia begitu sebelum akhirnya tawa kecil terlepas dari bibir. Barulah dia mengerti apa yang sebenarnya.
Ya Allah, Hannah... bisiknya dalam hati.
“Orang serius tapi abang ketawa pulak,” rajuk Hannah lagi. Dia terus berpeluk tubuh tanda protes.
Kalau sudah membahasakan dirinya begitu, memang merajuklah tu, desis Ilham sambil menyimpan senyuman.
“Sayanggg...” panggil Ilham dengan suara yang meleret. Tubuh isteri ditarik rapat ke arahnya semula walaupun Hannah masih tidak memberi respons.
“Ya Allah, semakin lama semakin manja isteri abang ni.” Ilham mengusik. Puncak hidung isterinya dicuit.
Hannah langsung tidak berganjak. Masih dengan rajuk yang dibuat-buat.
“Sayang...” bisik Ilham lembut. Pelipis isteri dikucup.
 “Tiba-tiba nak merajuk ni kenapa? Tak elok tau selalu merajuk nanti terikut-ikut pulak baby yang dalam perut tu. Kalau sayang yang merajuk abang bolehlah selalu pujuk tapi kalau nanti anak kita asyik merajuk je, sayang sanggup ke nak pujuk selalu? Memanglah abang boleh pujuk tapi kalau dua-dua merajuk nanti macam mana? Tak kesian dengan abang?”
Ilham cuba berdiplomasi dalam gurauan tapi apa yang diucapkannya itu memang tertulis dalam buku yang dibacanya. Emosi anak dipengaruhi daripada ibu ketika dalam kandungan lagi. Kerana itulah, sejak Hannah di awal kehamilan lagi si kecil selalu dibisikkan dengan kalimah-kalimah suci Allah supaya kalam-kalam suci itu sebati dengan dirinya.
Hannah terdiam. Wajah yang masam mencuka tadi sudah mula berubah tenang. Kepalanya ditundukkan memandang karpet di kaki.
“Okey, sekarang cuba cakap dengan abang, apa sebenarnya ni? Abang tersalah cakap apa?” lembut Ilham bertanya apabila reaksi Hannah sudah mula berubah. Rambut isterinya diusap perlahan-lahan.
“Hannah tak suka anak Hannah panggil Hannah, umi.” 
Ilham buang senyum. Sudah diagak itulah penyebabnya.
“Sayang, abang bukan nak suruh anak kita panggil sayang umi tapi secara spontan abang tersebut perkataan tu. Sebut umi kan lagi lembut bunyinya.”
“Tak nak!” tegas Hannah tapi dengan suara yang terkawal.
Ilham simpan tawa dalam hati.
“Okey, sayang nak anak kita panggil sayang apa?”
Mummy...” balas Hannah selamba.
“Hurm…okey juga panggilan tu tapi macam tak sesuai je. Cuba sayang fikir, nanti anak kita panggil abang, ayah tapi panggil sayang, mummy. Tak pelik sangat ke tu?” Ilham bertanya. Wajah isteri dipandang.
“Lagipun, abang lebih suka kalau kita sekeluarga hidup dengan cara Melayu bukan terikut-ikut cara orang barat. Biarlah kita kelihatan kolot asal jangan membelakangkan budaya kita. Ini semua pun demi masa depan anak-anak juga,” nasihat Ilham pula.
“Tapi…”
“Sayang, abang ni orang kampung je. Abang tak nak nanti orang kata baru duduk bandar dah mula lupa diri.” Belum sempat Hannah menghabiskan kata-katanya cepat sahaja Ilham memintas.
Bukan dia tidak suka tapi panggilan itu kedengaran terlalu moden dan tidak sesuai dengan mereka. Hurm… bukan dengan mereka tapi dengan dia. Canggung pula rasanya kalau anak-anak mereka memanggil Hannah, mummy nanti. Dari situ sahaja sudah nampak betapa jauhnya jurang perbezaan mereka.
Hannah terus kehilangan kata.
“Kata nak hidup bersederhana,” Ilham mengingatkan. Keningnya dijongketkan.
Hannah masih begitu tetapi kata-kata Ilham sebentar tadi menyedarkannya. Ya, itulah yang pernah diucapkan kepada Elyna dulu. Dia memilih Ilham kerana sikapnya. Bersederhana dalam setiap apa yang dilakukan dan sangat penyayang orangnya.
Ya Allah, kenapalah aku mengada-ada sangat? Panggil apa pun tetap sama juga. Ibu, umi, emak, mummy, tetap juga dia seorang ibu, marah Hannah kepada diri sendiri.
Sorry…” Kepala terus direbahkan ke dada suaminya semula dan pinggang Ilham dipeluk erat.
Senyum Ilham semakin lebar bila diperlakukan begitu. Itulah Hannah, isteri kesayangannya. Sikapnya memang sukar diduga tapi sentiasa menyenangkannya. Rajuknya tidak lama tapi untuk memujuknya perlu berlembut dan penuh diplomasi.
“Sayang tak salah pun. Abang cuma menegur apa yang patut dan alhamdulillah, isteri abang jenis yang senang menerima teguran. Terima kasih sayang.” balasnya dan rambut isteri diusap.
“Hannah yang mengada-ada. Ikut sangat kata hati.”
Ilham lepaskan tawa kecil.
“Abang suka je kalau isteri abang mengada-ada sebab mengada-ada sayang ni kadang-kadang menggoda dan selalu buat abang tak tahan,” giatnya dan pelukannya semakin dikemaskan.
“Suami Hannah ni semakin lama semakin gatal tapi cikgu, saya pun suka cikgu macam tu,” seloroh Hannah pula lantas pipi suami dikucup. 
Tawa Ilham terhambur lepas. Kepalanya digelengkan dan tubuh isteri dipeluk erat.
“Abang, Hannah tak boleh bernafas,” Hannah sudah tercungap-cungap. Pelukan erat daripada Ilham benar-benar melemaskannya. Sudahlah mereka baru sahaja lepas makan malam.
“Ya Allah, sorry sayang. Abang tak sengaja.” Geram sangat sehingga tidak sedar dia telah menyakiti tubuh isteri. Dengan riak cemas, tubuh isteri diusap-usap.
“Sayang okey tak ni?” kalutnya pula dan tubuh isteri dipandang dari atas ke bawah.
“Abang...”
“Kalau tak okey kita pergi klinik,” suara Ilham semakin cemas.
“Abang!” suara Hannah sudah mula meninggi. Kepalanya digelengkan. Tangan Ilham dipegang.
Seperti orang yang baru tersedar, Ilham tersentak.
“Hannah okeylah. Tadi tu sebab abang peluk kuat sangat bukan sebab abang dah sakitkan Hannah.”
Pipi suami diusap. Dia tahu apa sahaja tentangnya akan membuatkan Ilham jadi begitu. Dia tahu kasih sayang Ilham untuknya sepenuh dan setulus hati.
“Terima kasih abang untuk segala-galanya. Kasih sayang, cinta dan perhatian yang tak pernah kurang. Hannah sayangkan abang,” bisiknya dan sekali lagi pipi suami dikucup.
Luruh rasa hati Ilham sebaik mendengar kata-kata luhur dari seorang isteri. Ya Allah… sayunya hati dia.
“Hannah tahu, abang akan jadi ayah yang terbaik untuk anak kita,” ucapnya yakin dan tangan Ilham dicapai kemudian dibawa ke perutnya. Hannah tersenyum.
“Dan anak kita bertuah ada ayah macam abang.” sambungnya lagi dan senyumannya diukir semakin lebar.
Ilham turut tersenyum. Nafasnya dihela. Jemari isteri yang sedang menggenggam jemarinya dibawa ke bibir kemudian dikucup.
“Abang sayang isteri abang juga. Kasih sayang itu penuh di sini,” tangan isteri dibawa ke dada dan dibiarkan di situ.
“Dan akan selamanya begitu. Insya-Allah, dengan izin dari-Nya.”
Hannah tersenyum.
“Insya-Allah abang. Itu yang Hannah doakan setiap masa.”


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...