Followers

Wednesday 8 June 2016

Kerana Satu Janji - Bab 10




Bab 10








SURAYA menyeka air mata yang mengalir di pipinya perlahan. Pedih hatinya mendengar berita yang disampaikan oleh Ilham tadi. Ya Allah, kenapalah tiba-tiba perkara seperti itu boleh berlaku? Sangkanya, Ilham ingin bertemu untuk membincangkan tentang perkahwinan mereka. Namun, berita seperti itu yang terpaksa didengarinya. Patutlah berbincang di dalam kereta saja.
Kekecewaan benar-benar menyelubunginya ketika ini. Terasa bagaikan batu berat telah terhempas di pundaknya kala mendengar penjelasan Ilham. Kejam! Penantiannya selama ini dibalas sedemikian.
“Su, janganlah macam ni. Bukan Su aje yang sedih... abang pun sedih, Su. Tapi abang buat semua ni untuk keluarga abang. Demi Izwan dan mak. Abang harap sangat Su faham,” pujuk Ilham lembut. Sakit hatinya melihat insan tersayang bersedih begitu.
“Tapi kenapa mesti kahwin? Tak ada jalan lain ke nak selesaikan masalah tu? Pinjam je duit dengan perempuan tu ke?” bidas Suraya  yang masih dalam esakan dengan sedikit keras. Air matanya diseka lagi.
Ilham menghela nafas berat. Rambutnya diraup kasar.
“Abang pun tak tahu Su, tapi itu permintaan perempuan tu. Perkahwinan ni pun tak lama cuma untuk tiga bulan saja,” jujur Ilham menerangkan.
“Kalau abang kahwin dengan perempuan tu, Su macam mana?” Sayu Suraya bersuara. Tidak tegar rasanya membiarkan orang yang tersayang bernikah dengan perempuan lain.
“Sebab itulah abang jumpa Su hari ni. Abang nak berbincang dengan Su tentang hal ni,” ucap Ilham tenang. Tunang di hadapannya itu dipandang dengan satu harapan yang menggunung. Bukan dia sengaja melakukan semua ini. Dia pun tak minta semua ini berlaku, tapi dia tak punya pilihan.
Suraya mendongak. Pandangan Ilham dibalas sayu.
“Abang terpaksa batalkan pertunangan kita sebelum abang dan perempuan tu bernikah. Abang tak nak nanti keluarga Su tuduh abang macam-macam. Dah nikah dengan orang lain tapi masih tak mahu melepaskan Su,” Ilham menjelaskan dengan panjang lebar bersama satu keluhan berat di hujung suaranya.
Ya, benar-benar berat untuk melepaskan gadis yang sangat memahaminya selama ini. Namun, dia terpaksa melakukan semua itu demi keluarganya. Kalau orang kata dia bodoh, katalah. Hidup keluarganya, bukan orang itu yang menanggung.
“Abang!” Lantang Suraya bersuara. Tanpa sedar air mata mengalir lagi. Bukan main laju  membasahi pipi. Terasa hampir gugur jantungnya sebaik mendengar kata-kata Ilham tadi.
“Su, abang buat ni untuk kebaikan kita bersama. Kalau Su sanggup tunggu abang, lepas urusan abang dan perempuan tu selesai, abang janji akan sambung ikatan kita semula,” pujuk Ilham lembut cuba untuk menenangkan perasaan Suraya yang sudah teresak-esak di hadapannya itu.
“Apa yang Su nak cakap dengan mak nanti? Mak mesti tak akan biarkan kita bersama semula lepas tu.” Dalam esakan yang masih kedengaran Suraya masih tetap tidak setuju dengan permintaan Ilham. Hatinya benar-benar pilu dengan keputusan itu. Tergamak Ilham membalas penantiannya dengan pengakhiran sebegini. Biarpun  perpisahan mereka hanya sementara, tapi cukup mustahil bagi keluarganya untuk menerima Ilham kembali. Mustahil! Jerit hatinya yang masih lagi dihambat kepiluan dengan keputusan Ilham.
Atau Ilham memang nak sangat kahwin dengan perempuan tu? Sudah terpikat, sudah jatuh cinta? Perasaan Suraya sudah berbolak balik.
Ilham mengeluh lagi. Dia sendiri buntu. Kata-kata Suraya ada benarnya. Mana mungkin Mak cik Seri akan membenarkan mereka berkahwin setelah apa yang berlaku. Tapi mana mungkin dia melepaskan gadis sebaik Suraya kerana hanya Suraya sajalah satu-satunya gadis yang dicintai sepenuh hati.
“Su, abang sayangkan Su. Terlalu sayang hinggakan abang tak sanggup nak lalui semua ini sebab abang takut abang akan terus kehilangan Su. Tapi... Abang tak ada pilihan, Su. Izwan adik abang, di bawah tanggungjawab abang. Abang dah janji dengan arwah abah untuk jaga keluarga, tapi abang gagal. Kalau abang mampu untuk bayar ganti rugi tu, abang tak akan pilih jalan ni. Abang tak akan kahwin dengan orang lain selain Su,” luah Ilham perlahan dengan penuh kesal.
Tangis Suraya pecah lagi. Kata-kata Ilham tadi benar-benar  mengusik hati kecilnya kerana dia sendiri pun cintakan Ilham dengan sepenuh hati.
“Abang minta maaf. Abang betul-betul minta maaf.” Ilham sebak.
Keadaan menjadi sepi seketika hanya esakan Suraya saja yang kedengaran. Ilham pula semakin buntu dengan keadaan tersebut. 
“Su... janganlah macam ni,” pujuk Ilham lembut apabila tunang kesayangan masih lagi begitu.
Suraya yang hanya menunduk sedari tadi terus mendongakkan kepalanya. Air matanya diseka lagi. Wajah Ilham dipandang sayu. Perlahan-lahan nafasnya ditarik dan dihela.
“Kenapa tak abang rahsiakan perkahwinan abang dengan perempuan tu? Pertunangan kita, kita teruskan dan rahsiakan perkahwinan abang tu daripada orang kampung terutama mak Su.” Suraya mencadangkan pula. Yalah, Ilham kata cuma tiga bulan saja perkahwinan itu.
“Su...”
“Abang tahu  kan, kita nak bertunang dulu pun susah. Kalau dah putus, lagilah susah nak sambung semula!” Suraya membentak apabila dilihat Ilham seakan-akan tidak setuju dengan usulnya.
“Kalau mak Su tahu?”
“Itu baru kita fikir kemudian. Kenapa abang fikir benda yang belum berlaku tu? Cuba fikirkan kalau mak Su tak tahu sampailah abang bercerai dan lepas tu kita selamat berkahwin. Kita dah kahwin, mak Su bukan boleh buat apa lagi pun.” Suara Suraya semakin tinggi.
“Bukan macam tu, Su. Kita tak boleh tipu keluarga kita.  Kita berkahwin perlu dengan restu ibu bapa kita.”
“Abang tak sayang Su! Entah-entah abang memang nak sangat kahwin dengan perempuan tu!” Suraya bosan pula sampai menjerit. Ilham dilihat seperti bukan lelaki yang tegas menegakkan cinta mereka. Ilham jujur tetapi Ilham terlalu lurus pula.
“Su, tenang Su. Tenang. Dengar dulu apa yang abang nak cakap ni.” Melihat Suraya tertekan, Ilham semakin resah pula.
“Kalau kita putus, putus terus tak payah nak sambung-sambung lagi. Su relakan abang kahwin dengan perempuan tu demi nak selamatkan Izwan. Tapi, Su cuma minta abang rahsiakan je dulu daripada pengetahuan orang lain perkahwinan tu sebab abang juga kata abang akan bercerai selepas tiga bulan kecuali abang memang nak kekalkan perempuan tu sebagai isteri abang.”
“Su...” Ilham menyentuh bahu Suraya yang sudah memalingkan mukanya ke luar sebelah kirinya.
“Su rela dengan keputusan abang dan Su akan tetap menunggu. Itupun jika pertunangan kita ni diteruskan.” tutur Suraya sayu setelah perasaannya sedikit tenang. Akhirnya dia bertegas dalam mengalah. Demi kasih sayangnya terhadap  lelaki di hadapannya itu dia rela berkorban.
“Su nak balik.”
Ilham masih memandang sisi wajah Suraya yang sudah tegak ke hadapan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Ilham hidupkan juga enjin keretanya. Di awal perjalanan, Ilham memikir kata-kata Suraya dan keputusannya sebelum ini.
“Abang ikut plan Su. Kita rahsiakan dan lepas abang berpisah dengan perempuan tu, kita nikah.”
“Sebab Su sayangkan abang. Terlalu sayangkan abang,” ujarnya dengan bersungguh.
Ilham mengangguk berkali-kali. “Abang tak akan sia-siakan pengorbanan Su,” balas Ilham perlahan.
Dia mengerti bahawa gadis itu benar-benar kecewa. Namun, dia bukan sengaja memilih jalan itu. Dia tersepit! Benar-benar kusut dengan dugaan yang dilaluinya, namun, dia tiada pilihan lain selain menerima tawaran perempuan bandar itu.
Walaupun begitu, Ilham melepaskan nafas kelegaan. Wajahnya diraup perlahan. Terima kasih Su... Terima kasih kerana masih berikan abang peluang dan memahami masalah abang, bisik hati Ilham sebak.

SILING di dalam biliknya direnung lama. Perbualan dengan Suraya petang tadi masih terngiang-ngiang di telinga. Teringatkan sayu wajah tunangnya itu, Ilham mengeluh perlahan. Dia tahu Suraya kecewa dengan apa yang berlaku walaupun keputusan bersama telah diambil.
            Penat berbaring, Ilham bingkas bangun dan duduk di kaki katil. Kedua-dua tangannya diletakkan di kepala. Betulkah apa yang dibuatnya sekarang? Betulkah keputusannya itu?  Mengahwini Hannah dan meneruskan pertunangannya? Soalnya berkali-kali di dalam hati.
Sedang dia leka bersoal jawab dengan hati, telefon bimbitnya berbunyi, menandakan ada SMS masuk. Ilham berpaling. Telefon bimbitnya dicapai. SMS tadi dibuka. Perlahan-lahan Ilham mengeluh sebaik membaca mesej tersebut.

I need to see you tomorrow. We have to discuss about our marriage. I’ll wait for you at The Loaf KLCC around 2 pm. Don’t be late or the deal is off!

            Mesej yang panjang lebar daripada perempuan bandar itu benar-benar mengganggu benaknya.
            Telefon bimbitnya dicampakkan ke atas katil. Rambutnya diraup kasar. Hatinya semakin berantakan. Entah apalah lagi yang ingin dibincangkan oleh perempuan itu agaknya. Desisnya jengkel.

“KENAPA?” soal Elyna sambil jemarinya teguh di sudu sambil mengacau lamonade di atas meja. Muka sahabat yang sedang mencuka itu dipandang sekilas.
“Mamat tulah!” balas Hannah sedikit keras. Telefon bimbit di tangannya dicampakkan ke dalam tote begnya kemudian pandangannya dibuangkan ke luar kelab The Beach tersebut.
“Kenapa dengan mamat tu?”
Hannah mendengus. “Aku hantar SMS bukannya reti nak balas balik. Ingat aku suka sangat nak kacau dia malam-malam macam ni!” Hannah geram.
“Dah tidur kut,” pujuk Elyna. Dia senyum melihat wajah Hannah yang macam budak-budak tidak dapat coklat.
 “Baru pukul 11.30 lah babe,” dengusnya lagi. Marah benar dia dengan lelaki itu.
“Orang duduk kat kampung memang tidur awal. Bukan macam kita ni tiap-tiap malam jadi burung hantu,” kutuk Elyna pula. Air minuman perahan lemon yang dikacau tadi dicapai dan dihirup perlahan.
Hannah menjeling Elyna sekilas. Sakit hati. Kalau dia mengutuk ‘cikgu kesayangan’ sahabatnya itu pasti ada saja jawapannya. Kuat membela betul.
“Eh! Tak kan aku cakap macam tu pun nak sentap kut?” ucap Elyna sambil tergelak kecil. Cepat sangat sahabatnya itu merajuk sekarang. Tak boleh silap kata pasti terus saja tarik muka.
“Tak... Aku suka...suka sangat!” balas Hannah sinis siap dengan muka tak puas hati.
Elyna tersengih. “Ha, kau nak jumpa dia kenapa?”
“Bincang fasal hal kahwin tulah.”
“Nak bincang apa lagi? Bukan dah habis bincang ke dua hari lepas?” Dahi Elyna berkerut, dia semakin blur dengan Hannah.
“Itu bincang fasal lain. Sekarang ni nak kena bincang bila kami boleh nikah. Nak kena buat arrangement sebab nak nikah di sempadan kan,” terang Hannah panjang lebar.
Elyna terus membetulkan duduknya. “Nikah kat sempadan? Kenapa?” Keningnya terjongket. Kenapa tiba-tiba timbul isu nikah sempadan pulak ni?
Hannah mengeluh perlahan. Susah betul nak cakap dengan minah sorang ni. Takkan tak faham kut! Bebelnya dalam hati.
“Elyn, kalau nikah kat sini aku kena beritahu ayah. So, kalau ayah tahu, maknanya mama pun akan tahu. Aku tak nak ambil risiko,” terang Hannah mengenai perancangannya itu.
“Biarlah mama kau tahu, sebab lepas tu pun kau akan beritahu jugak kan?” Elyna menyoal lagi. Dia semakin bingung melihat sahabatnya itu.
Hannah menggelengkan kepalanya perlahan. Slow betul!
“Kau ni macam tak kenal mama aku. Kalau dia tahu dia akan lakukan apa saja supaya rancangan aku gagal,” keluh Hannah mengenangkan sikap Datin Umairah yang tiada belas ehsan. Kalau boleh semua kehendaknya wajib dituruti tanpa sebarang bantahan.
Akhirnya Elyna mengangguk. Mengakui memang ada benarnya pun kata-kata sahabatnya itu. “Betul juga tu ek,” ucapnya perlahan. Teringatkan sesuatu dia mendongak memandang Hannah semula.
“Eh babe, mama kau dah pulangkan pasport ke?”
Hannah menggeleng.
“Dah tu macam mana nak pergi sempadan?” Elyna bertanya lagi memohon kepastian Hannah. Mana mungkin sahabatnya itu boleh memasuki sempadan tanpa pasport. Mungkinkah sahabatnya itu akan melakukan kerja gila sekali lagi?
“Aku dah suruh seseorang buatkan pasport sementara untuk aku ke sana,” balasnya selamba.
Elyna memandang Hannah dengan dahi berkerut. “Kau biar betul? Dengan kongsi gelap mana pulak kau deal ni? Kau jangan main-main Hannah, silap haribulan nyawa melayang.”
Hannah tergelak. “Aku minta tolong Albert lah,” jawabnya ringkas.
Elyna menggeleng. “Bahayalah kau ni.” Elyna semakin gusar melihat sahabatnya yang semakin terdesak itu. Lepas satu, satu hal lain yang dibuatnya. Lepas ni apa lagi lah yang minah ni nak buat agaknya?
“Aku akan lakukan apa saja Elyn, lagipun untuk ke Thailand aje pun,” jelasnya lagi dengan selamba.
“Kau memang suka ambil mudah semua perkara. Salah tu tahu tak!”
Hannah hanya buat muka beku saja dengan teguran sahabatnya itu. Lantaklah salah ataupun tidak yang pasti rancangannya berjaya. Kalau kena tangkap dan masuk penjara, Elyna ada. Tak cukup duit mama mesti akan jamin punya. Tak mungkin mama akan membiarkannya meringkuk kat dalam tu.



Kerana Satu Janji - Bab 9





Bab 9




  
“CIKGU, saya kenalkan ini kawan saya, Hannah. Ingat tak perempuan yang cikgu selamatkan daripada lemas di Janda Baik dulu?” Sopan Elyna bersuara.
            Ilham di hadapannya dipandang dengan perasaan yang sukar untuk ditafsirkan. Dia tahu Ilham bingung apabila terpandangkan Hannah, perempuan yang dikatakan mampu membantu membebaskan adiknya. Jangankan Ilham, dia sendiri pun bingung sebenarnya dengan apa yang ingin Hannah lakukan.
Ilham mengangguk. “Hai,” ucapnya sepatah.
Hannah masih buat riak stone di situ. Senyum tidak, masam pun tidak. Teguran Ilham hanya dibiarkan sepi sahaja. Elyna hanya mampu menggeleng sahaja melihat kelakuan sahabatnya itu. Memang kerek giler kawan aku ni! Kutuknya dalam hati.
“Okey, Cik Elyna ada beritahu saya yang cik boleh bantu saya menyelesaikan kes adik saya. Boleh tolong jelaskan macam mana caranya?” soal Ilham tenang dan sopan walaupun riak Hannah sedari tadi sangat menjengkelkannya.
“Betul. Saya boleh tolong selesaikan kes tersebut, tapi ada syaratnya,” jawab Hannah bersungguh.
Ilham memandang Hannah dengan dahi berkerut. Kemudian, dia pandang peguam muda di sebelah perempuan yang diselamatkannya dulu. Elyna hanya angkat bahunya. Tanggungjawab dia hanya mengenalkan, bukan masuk campur. Segala nasihat sudah diberi tapi Hannah yang senget mahu teruskan.
 “Syarat? Apa syaratnya?” Ilham termangu seketika. Tolong orang, tapi bersyarat?
 “Dunia sekarang, mana ada yang percuma, semuanya nak kan balasan,” gumam Ilham sendirian. Tak apalah, sekurang-kurangnya ada jugak yang nak menolong. Takkan nak dibiarkan kes Izwan tu, getusnya lagi.
Listen Encik Ilham, saya ada duit, ada kedudukan dan dikelilingi oleh ramai orang-orang yang berpengaruh. Untuk membebaskan adik awak bukan perkara yang susah bagi saya dan syaratnya...” Hannah menjawab dengan megah, tetapi kata-katanya mati di situ.
Nafasnya dihela perlahan. Dia sedang memikirkan ayat yang sesuai untuk ‘melamar’ lelaki itu.
Dalam debaran, Ilham mendengar dengan penuh minat. Gadis di hadapannya itu dipandang tak beriak.
“Saya nak awak berkahwin dengan saya,” sambung Hannah selamba.
Ilham tercengang. Mak cik Lela yang turut berada di situ, selang sebuah meja di restoran tersebut turut tercengang. Dia mahu ikut duduk semeja tetapi dilarang pula oleh Ilham. Masing-masing memandang Hannah dengan mata tak berkelip.
“Saya tak faham, apa sebenarnya yang cik maksudkan?” soal Ilham teragak-agak dengan riak yang masih terkejut. Mahunya tidak terkejut kalau baru pertama kali bersembang dengannya sudah mengeluarkan kata-kata seperti itu. Hilang akal dia seketika. Persoalannya, perempuan di hadapannya itu waras atau tidak? Tiba-tiba aje ajaknya berkahwin.
“Apa yang saya cakapkan sangat jelas, Encik Ilham. Saya boleh bantu Encik Ilham dengan syarat Encik Ilham berkahwin dengan saya,” ulang Hannah lagi dengan tegas dan lebih jelas daripada tadi.
Mendengar kata-kata gadis di hadapan anak sulungnya, Mak cik Lela terus angkat punggung menghampiri Ilham. Panas pula hatinya mendengar kata-kata angkuh daripada gadis tersebut sedari tadi.
“Mak tak izinkan!” Mak cik Lela bersuara lantang.
Dia tidak akan membiarkan Ilham memperjudikan masa depannya demi Izwan. Lebih-lebih lagi dengan perempuan yang sombong dan bongkak begitu. Mana mungkin perempuan yang sebegitu rupa sesuai untuk menjadi menantunya. Jauh benar bezanya jika dibandingkan dengan bakal menantunya, Suraya.
Ya... Suraya. Apa perasaan Suraya seandainya Ilham menerima bantuan perempuan ini dan memutuskan pertunangannya dengan gadis sebaik Suraya? Mak cik Lela terus bersoal jawab dengan diri sendiri.
Hannah menjeling wanita separuh umur itu dengan pandangan tajam. “Mak cik boleh tak jangan campur. Urusan ini antara saya dan anak mak cik,” bidas Hannah keras. Geram pula dia rasa. Elyna pun satu, yang dijemput emak lelaki itu datang sekali buat apa agaknya. Tak duduk semeja pun tapi pasang telinga juga tentunya. Buat menyibuk aje!
“Kenapa pulak aku tak boleh campur? Ilham anak aku!” balas Mak cik Lela geram. Nasib baik anak dara orang kalau anak gadisnya sudah lama makan penampar. Jenis manusia kurang ajar!
Melihat keadaan yang kelihatan mula tegang itu, Ilham terus meraih tangan Mak cik Lela. Dia tidak mahu menimbulkan sebarang kekecohan di situ. Mereka datang ke situ pun bukannya bertujuan untuk berbalah satu sama lain.
“Mak, kita datang sini nak berbincang. Jadi kita dengar dulu apa yang cik ni boleh bantu kita,” pujuk Ilham lembut.
“Diam macam mana Ham? Tak kan mak nak diam kalau syaratnya macam tu? Hanya orang gila aje yang buat syarat macam tu!” Suara Mak cik Lela sedikit keras.
Mendengar kata-kata wanita separuh umur di hadapannya itu, Hannah semakin berang. Sesuka hati mengata aku gila! “Mak cik, saya ajak anak mak cik ni berbincang sebab saya nak tolong bebaskan anak mak cik yang sorang lagi tu daripada terus meringkuk di penjara! Tapi kalau mak cik rasa saya gila, biar saya  minta diri dulu,” balas Hannah geram. Dia terus bangun dari duduknya. Tapi belum sempat dia melangkah, Ilham pantas memanggil namanya. Hannah tersenyum sumbing dan berpaling. Tahu takut! Gumamnya bagai mahu mentertawakan mak cik tua itu. Matanya merenung ibu Ilham tanpa perasaan bersalah pun.
“Mak, semua perkara boleh dibincangkan. Kita dengar dulu,”pujuk Ilham lagi. “Cik,  duduk dulu dan kita bincangkan semula,” ucap Ilham perlahan.
Hannah yang masih beriak selamba terus duduk. Duduknya dikemaskan. Tangannya terus dipelukkan ke tubuh. Malas dah dia mahu pandang muka Mak cik Lela.
“Itulah syarat saya kalau awak nak kes adik awak digugurkan,” tekan Hannah keras sebelum Ilham memulakan suaranya.
Ilham tidak menjawab. Masih terdiam kaku di tempatnya. Mak cik Lela turut diam tak terkata. Hanya hatinya saja yang masih panas membara dengan sikap sombong gadis di hadapannya itu. Rasa terkejut dengan cadangan tersebut pun masih bersisa lagi.
Elyna yang  memerhati sedari tadi hanya  mampu menggelengkan kepala sahaja. Nampaknya Hannah nekad melakukan apa sahaja asal tidak disatukan dengan Azryl. Kau memang berani Hannah!
“Macam mana?” soal Hannah lagi. Bebola matanya masih tajam menikam wajah resah lelaki di hadapannya itu.  Sebenarnya dia pun takut kalau Ilham menolak cadangannya.
Ilham menghela nafas berat. Permintaan gadis di hadapannya itu memang gila. Segila orangnya mungkin. Macam mana dia hendak berkahwin dengan orang yang tidak pernah dikenalinya itu. Dunia dah nak kiamat agaknya sehingga hal-hal nikah kahwin dipermainkan sebegitu sekali. Desis hatinya jengkel tapi dia ada pilihankah?
“Macam mana saya nak kahwin dengan awak kalau saya tak pernah kenal dengan awak,” balas Ilham sinis.
“Tak kenal...boleh kenal.” Selamba Hannah membalas.
Look, Cik...” Ilham kekok dan teragak-agak.
“Hannah... Hannah Ayuni,” balas Hannah dengan nada angkuh yang masih bersisa.
“Okey, Cik Hannah, biar saya berterus terang. Saya dah bertunang, jadi tak ada sebab saya nak putuskan pertunangan saya semata-mata nak berkahwin dengan awak. Lagipun saya sayangkan tunang saya dan saya tak mungkin akan melukakan hati dia,” jujur Ilham mengaku. Biarlah dia berterus terang agar tiada hati yang terluka semata-mata demi menyelamatkan Izwan.
Hannah tergelak tiba-tiba. Kepalanya digelengkan perlahan. Macam kelakar pula mendengar kata-kata lelaki di hadapannya itu. Serius skema. Macam aku nak jadi bini dia untuk sepanjang hayat. Oh, please! Ejeknya dalam hati.
Ilham tercengang. Memang perempuan di hadapannya itu ada masalah mental agaknya. Buat permintaan gila dan sekarang ketawa tiba-tiba.
This is not funny Cik Hannah!” bentak Ilham sedikit keras. Geram!
Hannah menegakkan tubuhnya. Tangannya diletakkan ke atas meja.
Listen Encik Ilham! Talak di tangan siapa? Saya atau Encik Ilham? Besides, the marriage won’t last forever. It’s only temporary. So, awak tak perlu risau tentang tunang awak whatsoever. When the time comes, Elyn will end it for us,” terang Hannah mengenai rancangannya. Dia masih meletakkan harapan agar Ilham bersetuju dengan rancangannya itu.
“Aku?” Akhirnya Elyna menyampuk. Tetapi, melihat pandangan tajam Hannah kepadanya, terus dia mendiamkan diri semula bersama helaan nafas yang berat. Hannah ni memang patut pun kau dikata gila oleh Mak cik Lela.
“Awak tak perlu tanya kenapa saya buat semua ni. Yang perlu awak fikirkan sekarang keadaan adik awak. Dengan hanya satu call adik awak akan bebas,” sambung Hannah lagi apabila melihat kerutan di wajah lelaki di hadapannya itu.
“Okey, berapa lama tempoh perkahwinan ‘kontrak’ yang Cik Hannah plan ni?” Ilham tenang setelah lama berdiam diri.
“Paling lama tiga bulan sebab saya perlukan tempoh tu untuk lakukan sesuatu,” jelasnya lagi.
Ilham terdiam lagi.
“Okey, sepanjang tempoh perkahwinan, perlu ke kita tinggal bersama?” soal Ilham jujur. Itu perkara penting untuk ditanyakan. Dia pun tak mahu ada apa-apa berlaku.
Sekali lagi Hannah tergelak. Geli hati dengan soalan itu. Takut sangat! Kutuknya dalam hati.
Don’t worry, saya akan stay di KL tapi awak perlu datang ke sini bila saya perlukan kehadiran awak,” ucapnya lagi menerangkan hal sebenar agar Ilham tidak berasa ragu dengan perancangannya itu.
Ilham mengangguk mengerti.
“Ham, fikir dulu. Jangan buat keputusan melulu. Fikirkan masa depan Ham dan Su.” Melihat anggukan Ilham, Mak cik Lela yang penasaran. Bimbang Ilham tersilap membuat keputusan.
Ilham tersenyum. Jemari Mak cik Lela diusap perlahan.
“Mak janganlah risau, Ham tahu apa yang Ham buat,”  pujuknya lembut.
Ilham berpaling memandang Hannah semula. “Macam mana saya nak pastikan perjanjian ini hanya sementara?” soalnya memohon kepastian. Ilham pandang seketika pada Elyna yang diam sahaja. Meliibatkan peguam, tentulah berkaitan perjanjian.
“Saya orang yang berpegang pada janji, Encik Ilham. Kalau awak tak yakin, bersaksikan emak awak dan sahabat baik saya, saya janji perkahwinan ini hanyalah untuk sementara. Apabila tamat tempoh tiga bulan tersebut, Elyna akan lakukan apa yang sepatutnya. Jadi awak tak perlu risau. Lagipun talak di tangan awak, kan?” balas Hannah bersungguh dan begitu meyakinkan.
Ilham mengangguk. “Baiklah, saya setuju. Tetapi, kalau adik saya masih tak dibebaskan dalam tempoh terdekat ni, perjanjian ini dikira batal,” ucap Ilham tegas. Izwan sudah ditahan reman tujuh hari. Mungkin sahaja, tiba-tiba ditahan reman lagi jika melibatkan wang syarikat orang-orang kaya dan berpengaruh. Undang-undang, ciptaan manusia dan tidak mustahil dikuasai oleh mereka yang berpengaruh dalam situasi keluarganya yang sederhana ini.
Hannah mengangguk. “Deal!” Hannah yakin.
Elyna semakin cuak melihat keyakinan temannya itu. Sedangkan dia masih berusaha mengumpulkan bukti tapi Hannah dengan mudah memberi jaminan. Haishhh, kalut...kalut! Kenapalah kau jadi macam ni Hannah? Perbuatan sahabatnya itu benar-benar mencabar kerjayanya sebagai peguam yang berkaliber.
Sebaik Ilham dan Mak cik Lela pergi dari restoran tersebut, Hannah juga angkat punggung meninggalkan kawasan itu.
“Hannah!” panggil Elyna lantang. Langkah Hannah dikejar. Sebaik berdiri di sebelah temannya itu, lengan Hannah segera ditarik.
What?” Hannah hairan. Wajah mencerlung Elyna dipandang tak beriak. “Tak kan aku nak dok diam kat restoran tu lagi. Panas tahu restoran tu. Habis je, kita baliklah.” Hannah selamba.
“Kau buat apa ni?”
“Buat apa?”
“Kahwin kontrak. Perjanjian bagai. Libatkan aku, apa ni?”
Hannah gelak. “Aku buat apa yang patut aku buatlah. Dan kau buat apa yang patut kau buat. Cikgu Ilham tu buat apa yang patut dia buat,” balas Hannah selamba.
“Kau gila ke apa? Macam mana nak bebaskan adik Ilham?” Elyna terus menyoal Hannah. Dia masih lagi bingung dengan tindakan Hannah seketika tadi.
Hannah tergelak kecil. “Apalah kau bengong sangat ni? Lupa eh owner Wawasan Ekar, Uncle Hamdi tu kan kawan baik papa tiri aku,” tuturnya yakin. Kalau bukan disebabkan dia terbaca dokumen Elyna tempoh hari, memang dia tak akan tahu pun dan tak mungkin dia terfikirkan rancangan tersebut.
So?
“Aku akan berbincang dengan dia. Kalau kena bayar aku akan bayar. Yang penting plan ni berjalan dengan lancar. Habis cerita,”  ucapnya riak dengan harapan Elyna memahami tujuan sebenarnya.
“Dekat RM100 ribu Hannah tuntutan tu!” Elyna semakin cuak dengan tindakan sahabatnya itu.
So?” Hannah menyoalnya kembali. Selamba sahaja gayanya seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Elyna menggeleng perlahan. Hannah memang gila!
“Jumlah tu bukan sikit. Kau dah gila nak laburkan duit sebanyak tu semata-mata untuk rancangan gila kau ni?”
Hannah mendengus keras. Elyna direnung tajam.
“Aku pernah cakap dengan kau kan, aku akan lakukan apa saja asalkan perkahwinan aku dengan Azryl tak  berlangsung,” tekan Hannah tegas. “Jadi aku dah tak kisah dah sekarang tentang apa-apapun,” sambungnya lagi.
“Okey, aku faham tapi Ilham tu dah ada tunang, Hannah. Cubalah fikirkan perasaan orang lain juga,” bidas Elyna tetap tidak mahu kalah.
“Kalau tunang dia sayangkan dia tentu tunang dia sayangkan keluarga dia juga kan? Jadi, apa salahnya berkorban. Bukannya lama, tiga bulan aje lepas tu kami akan bercerai. Ala, kalau Ilham tu sayang tunang dia, mesti tak ada masalah untuk dia ceraikan aku. Kau ni, itu pun susah ke?” Selamba Hannah membalas dan  meneruskan langkahnya. Keras benar hatinya sehingga sanggup mengorbankan banyak perasaan demi melunaskan impiannya agar tidak terjerat dengan rancangan mama dan papa tirinya itu.
Elyna menggeleng. Jenis manusia keras kepala dan tak ada perasaan betul! “Okey fine. Lepas tiga bulan apa yang kau nak buat?” Elyna ingin tahu pula.
 Hannah berhenti melangkah. Dia terus berpaling memandang Elyna di sebelah. “Entah, aku tak terfikir pun lagi perancangan aku lepas tu. Tunggu dan lihat ajelah,” tuturnya perlahan.
Mendengar kata-kata sahabatnya itu, Elyna semakin bingung. Apa lagi yang Hannah akan buat? Aduh Hannah, janganlah suka cari fasal!

MAK CIK Lela mendengus perlahan. Kepalanya dipicit-picit. Sesak hatinya memikirkan apa yang berlaku siang tadi. Masih tergiang-ngiang di cuping telinganya akan rancangan pelik gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Hannah’. Mana mungkin dia membiarkan Ilham berkahwin dengan perempuan yang begitu walaupun hanya untuk sementara.
Sejak pertemuan dengan perempuan itu di Kuala Lumpur sehinggalah mereka balik semula ke Temerloh petang itu, panas hatinya masih tak reda-reda lagi. Makin difikir makin sakit hatinya.
“Mak, janganlah fikir sangat nanti darah mak naik lagi,” pujuk Ilham lembut.
Mak cik Lela melepaskan keluhan berat. “Cuba Ham fikir, macam mana kepala mak ni tak pening. Mana nak fikirkan Izwan, mana nak fikirkan Ham,” luah Mak cik Lela melepaskan perasaannya yang sarat dengan pelbagai dugaan terhadap anak-anaknya.
Ilham tersenyum hambar. “Mak, bukankah Izwan akan dilepaskan tak lama lagi jadi mak tak payahlah nak fikir-fikir sangatlah,” tanpa jemu Ilham memujuk walau hatinya sendiri pun berantakan.
Mak cik Lela membetulkan duduknya. Anak lelaki di hadapannya itu dipandang tak beriak. “Betul Ham, Wan akan lepas tapi Ham macam mana? Sanggup ke Ham nak hidup dengan perempuan macam tu? Berlagak, sombong, kurang ajar pulak tu,” luah Mak cik Lela geram.
“Mak tahu dia orang kaya, berduit tapi perangai dia tu tak semenggah. Bukannya reti nak hormatkan orang tua. Tengok, salam mak pun tak. Tak ada budi bahasa langsung. Mak tak nak anak mak jadi lembu cucuk hidung lepas kahwin nanti. Mak tak nak Ham menyesal nanti.” Mak cik Lela meluahkan kejengkelan terhadap perempuan yang bakal menjadi menantunya itu.
Ilham tergelak kecil. Kepalanya digelengkan.
“Mak, kan kami kahwin sekejap aje. Tiga bulan. Lagipun bukannya kami duduk serumah,” pujuk Ilham lembut.  Lagipun talak di tangan aku, bisik hatinya pula.
“Mak tahu, tapi apa kata orang kampung nanti kalau tiba-tiba Ham kahwin dengan perempuan tu? Macam mana pulak dengan Su?” Mak cik Lela kembali mengingatkan Ilham tentang Suraya yang sepatutnya menjadi menantunya, bukan perempuan bandar yang sombong itu.
Ilham mengeluh perlahan. Bukan dia tidak memikirkan semua itu. Ada, tapi sehingga sekarang  masih tak bertemu jalan penyelesaian.
“Ham, boleh tak kita fikirkan cara lain untuk selesaikan masalah adik kamu tu? Kalau perlu, jualkan aje tanah arwah abah tu.” Hati Mak cik Lela masih berbolak-balik mengenangkan Ilham yang sanggup memperjudikan kehidupannya demi membebaskan Izwan daripada tuduhan itu. Dia berharap sangat agar anaknya itu tidak meneruskan rancangannya untuk mengahwini perempuan itu. Biarlah terpaksa bersusah payah sedikit, asalkan mereka tidak terus menjadi bahan cemuhan orang kampung.
“Entahlah mak, Ham buntu sebenarnya. Hanya itu sajalah jalan terbaik yang Ham nampak. Ham tak nak guna tanah arwah abah tu. Itu aje peninggalan arwah untuk kita. Memang kita boleh teruskan macam sekarang, minta peguam yang uruskan kes tu tapi mesti penat naik turun mahkamah nanti. Lagipun kita tak boleh biarkan Wan kat dalam tu, kesian dengan Zura, mak. Sudahlah tengah tunggu hari nak bersalin, suami pula masih dalam tahanan. Tak sampai hati Ham nak biarkan aje,” panjang lebar Ilham melepaskan perasaan yang sarat di hatinya.
“Apa kata Ham rahsiakan hal kahwin Ham dengan perempuan sombong tu daripada Su.”
“Tak baik kita bohong Su, mak. Ham kena berterus terang.”
“Ala, buat macam drama-drama kat tv tu.”
Ilham gelak melihat keseriusan Mak cik Lela. “Mak ni... Takkan sampai ke situ pulak...”
“Ham jangan nak gelak-gelak, ini perkara serius, Ham. Mak tak mahu Ham kecewa dengan perempuan tu. Nanti Su pun lari daripada Ham. Mak sayang Su.”
“Mak...” Ilham sudah risau.
“Orang kampung mesti kata kita bukan-bukan nanti, Ham.” Mak Lela sudah bagai mahu menitiskan air matanya.
“Tentang orang kampung ni biarlah mak. Dah penat bercakap nanti berhenti juga. Urusan Ham dengan Su nanti Ham akan bincang baik-baik dengan dia. Kalau Su sayangkan Ham mesti Su boleh berkorban sikit untuk keluarga kita,”sambungnya lagi. Walaupun dia tak pasti akan penerimaan Suraya, tapi dia benar-benar berharap Suraya tidak akan cepat melatah. Dia buat itupun untuk kebaikan keluarganya bukan untuk kepentingan diri sendiri. Dia tidak akan merahsiakan daripada pengetahuan tunangnya kerana sikap berahsia bukan cara hidupnya.
Tidak mampu untuk membantah dan memujuk, akhirnya Mak cik Lela akur dan mengangguk sahaja.
“Kalau Ham dah buat keputusan dan nekad, mak pun dah tak boleh nak kata apa lagi.” Kalau bukan Ilham yang membantu, siapa lagi yang hendak diharapkan untuk menyelesaikan kes Izwan? Biar apapun yang dilakukan oleh Ilham, dia berharap agar semuanya berjalan dengan lancar dan tidak menghadapi sebarang masalah lagi.
Mendengar kata-kata ibunya itu, Ilham tersenyum hambar. Di dalam hati tak putus dia berdoa semoga segala-galanya menemui penyudah yang baik. Kalau ini yang telah Allah aturkan, doanya semoga aturan ini adalah aturan yang terbaik untuknya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...