Followers

Monday 9 October 2017

Utusan Cinta Buat Adam - Prolog


Mekah – 24 April 2016
Kaki diayun perlahan dan dengan perasaan berbaur. Dua minggu dia di situ untuk beribadah kepada yang Esa dan hari itu dengan berat hati dia terpaksa pulang semula ke tanahair tercinta. Syukur alhamdulilah perjalanannya dan ibadahnya dipermudahkan Allah. Kesihatannya yang agak merudum ketika dia meninggalkan bumi Malaysia, terus pulih sebaik kaki melangkah ke tanah suci itu. Alhamdulilah, sesungguhnya Dia sentiasa mendengar doa hamba-Nya. Hati berbisik penuh kesyukuran.
Pandangan dibuangkan ke sekeliling ruang Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz itu dengan rasa sayu dan sebak yang mencengkam. Allah, serasanya seperti tidak sanggup dia hendak meninggalkan tanah suci yang damai dan menenangkan itu. Kenapalah cepat sangat masa berlalu? Dia masih belum puas lagi sujud beribadah kepada-Nya.
“Kau okey tak ni?”
Terdengar suara Fazrin menegur, Aireen berpaling dan senyum nipis dipamer. “Rasa macam tak nak balik.” Ucapnya perlahan.
Fazrin turut tersenyum. “It’s normal. Sesiapa pun yang datang ke sini akan mengungkapkan kata-kata yang sama bila nak balik. Kita sama-sama doa minta pada Allah semoga tahun depan kita kita dijemput lagi ke sini.” Balasnya dan kaki masih terus diayun.
“Insya-Allah. Amin.” Ucap Aireen bersungguh dan wajah diraup. Ya, pasti dia akan datang ke tanah haram lagi. Tekadnya.
Langkah masih terus diatur untuk masuk ke balai berlepas. Jemaah lain yang satu kumpulan dengan mereka sudah jauh ke hadapan. Mereka terlewat sedikit kerana ada masalah ketika berada di kaunter daftar penerbangan tadi. Nasib baik bukan masalah besar kalau tidak tentu dia terpaksa bermalam satu malam lagi di situ.
“Jalan cepat sikit orang lain dah jauh tinggalkan kita tu.” Fazrin mula melajukan langkahnya. Aireen menurut. Sedang laju kaki diayun tiba-tiba dia terlanggar seseorang.
“Sorry..” ucapnya. Passport yang terlepas dari pegangan cepat-cepat dicapai.
Lelaki yang dilanggarnya tadi hanya tersenyum sahaja dan tanpa berkata apa-apa lelaki itu  terus beredar dengan terburu-buru.
“Kelam kabutnya mamat tu.” bebel Fazrin sambil mendengus.
“Dia dah lambat agaknya tu lagipun bukan salah dia. Aku yang terlanggar dia tadi.” Aireen buang senyum.
“Kau terlanggar pun sebab dia yang kalut. Lagi pun, orang dah minta maaf tu balaslah.” Muka dicemikkan.
“Dah tak payah nak membebel cik Faz. Kalau tidak, kita yang kena tinggal nanti.” Aireen mencelah dan kembali ayun langkah. Baru selangkah dia berjalan tiba-tiba kakinya terlanggar sesuatu. Kepala ditundukkan dan kad pengenalan diri berwarna biru di hujung kasutnya dicapai. Tubuh terus ditegakkan dan pandangan dibuangkan ke hadapan semula. Kelibat lelaki tadi dicari tetapi dalam keadaan begitu ramai orang di situ, dia sendiri pun sudah tidak pasti yang mana satu orangnya. Kad pengenalan diri tersebut dipandang dan maklumat yang tertera digelang tersebut dibaca.
"Adam Firdaus Bin Haji Badarudin." 
Hurmmm…orang Malaysia juga. Tak mengapalah, sampai Malaysia nanti dia akan cuba menghubungi lelaki itu dan mengembalikan semula kad pengenalan diri tersebut. Manalah tahu jika pemiliknya ingin menyimpan kad tersebut untuk dijadikan kenang-kenangan. Bisik hati kecilnya.


Tuesday 5 September 2017

Bab 1 - Terdengar Suara





Langkah diayun. Perlahan-lahan. Sesekali mata melirik ke arah gadis Cina yang sedang berjalan
beriringan dengannya ketika itu. Seluar jean yang agak lusuh dan koyak rabak di bahagian lutut dan peha gadis itu dipandang pula. Pelik betul. Seluar begitu yang dipakainya. Tak boleh agaknya pakai yang elok sikit. Bila ditanya, fesyen katanya. Itulah jawapan yang diterima sambil tersengihsengih sahabatnya menunjukkan gigi putihnya yang tersusun rata itu. Muka lawa tapi sayang betul otak senget! Ejeknya sambil simpan tawa.

“Lama ke kau dekat sini?” soalnya sambil terus mengayun langkah. Wajah gadis yang bernama Hazel itu dipandang pula. Orangnya comel dan cantik. Walaupun sudah berumur 24 tahun kelihatannya masih seperti anak gadis yang berumur belasan tahun. Mungkin sebab tubuhnya yang kecil molek begitu jadi tidak nampak berusia. Kulitnya putih kemerah-merahan. Anak Cinalah katakan. Tetapi yang paling dia suka dengan anak Cina seorang ini adalah matanya. Berwarna hazel sama seperti namanya. Cantik bersinar-sinar. Kalau dia lelaki tentu sudah lama dia tergoda setiap kali merenung sepasang mata yang cantik itu.  

“Tak tahu lagi. Tengoklah mood aku macam mana. Lagipun aku rindulah dengan kau. Sejak habis belajar senyap aje. Langsung tak nak datang KL cari aku,” bebel mulut comel yang berulas nipis itu bersama cemikan. Siti dijeling menunjukkan rasa tidak puas hatinya.

Hazel, walaupun anak Cina asli tetapi cakap Melayunya sangat lancar dan fasih. Jarang juga sebenarnya dia mendengar minah Cina seorang ini bertutur dalam bahasa ibundanya. Memang jenis Cina murtad agaknya ataupun memang tak tahu berbahasa Cina. Ahaks!

“Bukan tak nak pergi sanalah tapi tak ada urusan. Lagipun kosnya tinggi. Sayang duit. Nak minta mak aku haruslah kena bebel dulu. Cari kerja dah berbulan tapi panggil interview satu pun tak ada lagi. Kena mandi bunga agaknya baru dapat kerja. Haih!” balas Siti dengan keluhan panjang. Sudah dekat setahun rasanya jadi penganggur terhormat dan sudah naik jenuh telinga mendengar mulut ibunya membebel di rumah. Itu yang kadang-kadang rasa hendak lari aje tapi tak tahu pula hendak ke mana. Kalau setakat sampai kampung hujung sana tu baik tak payah. Buang karan aje. Nak pergi jauh-jauh takut nanti orang jumpa dah mati kebuluran. Tidak ke aniaya jadinya? Kesian pula dengan Mak Cik Hanim a.k.a emaknya nanti meraung anak mati kebulur.

Hazel tersenyum. “Relakslah. Nanti adalah tu. Sekarang ni memang susah nak cari kerja,” pujuknya. Cap di kepalanya dibetulkan sedang mulut masih terus mengunyah gula-gula getah yang sudah hilang rasa manisnya.

“Kau dah dapat kerja ke?” Gadis Cina di sebelahnya dipandang lagi.

Kepala digeleng bersama senyuman.

“Tapi aku tengok kau relaks aje. Orang tua kau tak bising ke?” Siti kerut dahi. Itu satu lagi yang dia tidak pernah tahu tentang gadis itu. Walaupun persahabatan mereka dikira akrab, Hazel tidak pernah bercerita tentang keluarganya. Apa yang dia tahu, ibu sahabatnya itu telah lama meninggal. Itu sahaja.

“Bising juga. Papa aku pun asyik membebel tapi aku malas nak ambil pusing. Aku belum sedia lagi nak kerja,” jawab Hazel selamba. Gula-gula getah di dalam mulut terus diludah keluar kemudian mulutnya dikesat.

“Kau datang sini dia tahu tak?”

Hazel tersengih kemudian kepala digeleng. Malas hendak mendengar Siti bertanya lebih banyak lagi, langkah mula diayun agak laju.

Siti turut menggeleng dan langkah sahabatnya itu diekori. Entah-entah minah ni lari dari rumah sebab bergaduh dengan papa dia, fikirnya. Tapi lantaklah, dia malas hendak menyibuk. Urusan keluarga mereka biar mereka yang selesaikan sendiri. Eh! Tapi kalau tiba-tiba papa Hazel report polis kata anak dia hilang, macam mana? Haru juga tu! Tak pasal-pasal dia pun terlibat sama. Ermmm… Tak apa, Siti... Pelan-pelan kau korek rahsia, tekadnya.

Sedang leka berjalan sambil menikmati suasana kampung petang itu, tiba-tiba langkah Hazel terhenti. Siti turut berhenti melangkah. Kepala terus ditoleh ke sebelah.

“Kenapa?” soalnya hairan.

Senyap.

“Wehhh... Kenapa?” tanyanya lagi. Melihat air muka Hazel yang kaku, bulu romanya tiba-tiba meremang. Janganlah Hazel menyebut yang bukan-bukan ketika waktuwaktu hendak ke senja ni. Sudahlah mereka berada di kawasan yang agak terpencil.

Masih senyap.

“Hazel!” Bahu Hazel disinggung.

“Kau dengar tak suara tu?” Dengan riak yang masih seperti tadi, Hazel bersuara. Pandangan terus dibuang ke sekeliling sedang telinga masih lagi tancap mendengar suara yang dimaksudkan. Lembut, mendayu dan beralun bunyinya.

Dada Siti terus berderau. “Kau dengar apa?” Laju dia bertanya. Haih, Hazel ni. Itulah, orang tua pesan dah nak maghrib jangan keluar tapi degil. Kena sorok hantu kopek nanti baru tahu. Eh!

“Kau tak dengar ke?” Siti dipandang semula.

“Ya Allah, kau ni. Kau dengar apa?” bebel Siti geram dengan riak yang semakin cemas. Dada pula berdegup semakin kencang.

“Tu... Suara orang tengah baca apa entah. Mantera kut!”

Mantera? Haish! Siti terus mendiamkan diri dan cuba untuk bertenang sambil memasang telinga mendengar suara yang dimaksudkan Hazel tadi. Lama dia begitu sebelum kepalanya digeleng. Haih! Buat saspens betul anak Cina sorang ni. Ketuk baru tahu!

“Itu suara orang mengajilah!” marahnya. Mati-mati dia ingat Hazel terdengar bisikan yang bukan-bukan atau suara makluk halus. Sudahlah waktu hampir menginjak ke senja sekarang.

“Mengaji?” Hazel kerutkan dahi. Suara itu diamati lagi.

Siti mengangguk. “Ustaz tengah mengaji sebab nak masuk maghrib dah ni,” terangnya.

“Ustaz?”

Sekali lagi Siti mengangguk. “Ustaz baru dekat kampung ni. Sejak dia datang memang tiap-tiap petang dia mengaji sebelum masuk waktu solat maghrib,” cerita Siti lagi.

“Sedap suara dia. Macam relaks aje dengar.” Hazel bersuara lagi. “Dekat mana dia mengaji?” Masih tidak puas hati, dia bertanya.

“Surau. Dekat aje dari sini sebab tu bunyinya kuat.”

Kepala diangguk dan langkah diatur semula. Telinga terus dipasang mendengar alunan suara yang
gemeresik merdu itu. Walaupun tidak difahami apa yang didengarinya itu, entah kenapa hati yang kusut terasa damai. Jiwa yang memberontak terasa tenang.

“Dengar suara ustaz tu macam orangnya handsome aje. Dia handsome tak?” Tiba-tiba soalan itu terkeluar dari bibirnya. Siti dipandang semula.

Siti mengangguk. “Handsome,” balasnya sepatah. Memang ramai yang memuji ustaz baru di kampungnya itu kacak orangnya. Tapi dia masih belum terserempak atau terjumpa lagi dengan yang empunya diri. Beri jawapan kepada Hazel pun dari cakap-cakap orang sahaja. Kut jongang, gemuk atau hodoh, bukan salah dia. Salahkan orang yang memandai bawak mulut tu!

“Dah kahwin?”

Siti tersengih. Boleh pula soalan itu yang ditanya. Gatal betul anak Cina sorang ni. Gelaknya dalam hati. “Single and available. Mak aku cakaplah sebab mak aku selalu berangan nak ada menantu ustaz. Macamlah anak dia spesies-spesies ustazah pilihan. Ahaks.” Siti lepaskan tawa.

“Serius?” Hazel bersuara teruja. Bulat matanya memandang Siti di sebelah.

Siti mengangguk lagi dengan tawa yang masih bersisa. Amboi... Bukan main beria-ia lagi riak Hazel.
Hazel terdiam. Terfikirkan sesuatu, senyum tersungging lebar. “Nak tengoklah ustaz tu macam mana orangnya. Jom skodeng!” ajaknya dengan riak bersahaja. Kening dijongket nakal.

Mendengar ajakan Hazel, Siti tercengang. Biar betul minah ni?!

“Jomlah...” ajak Hazel lagi. Semakin beria-ia daripada tadi.

“Ehhh... Tak payahlah. Nanti orang datang surau mana kita nak letak muka? Lagipun kejap lagi mesti ramai orang dekat surau tu. Isy, malulah!” Laju Siti gelengkan kepala. Hurm... Tidaklah dia buat perkara-perkara macam tu. Terhendap-hendap dekat tangga surau semata-mata nak tengok setakat mana kacaknya ustaz yang tengah mengaji. Uishhh! Menjerit Mak Cik Hanim dekat rumah tu nanti kalau tahu.

“Alaaa Siti. Kita tengoklah dari jauh. Aku teringinlah nak tengok ustaz tu. Suara dia tu... entah… aku rasa macam… ErmmmBest kut! Yang pasti, aku rasa relaks aje bila dengar,” pujuk Hazel bersungguh. Tangan Siti dipaut dan digoyang-goyangkan.

 “Aduh, kau ni. Lain kali ajelah. Dah petang ni... Nanti mak aku membebel kita balik lambat.” Siti mula beralasan. Tak mahulah dia.

Pleaseee...” rengek Hazel masih belum berputus asa.

“Tak bolehlah. Nanti kita balik lambat mak aku bising,” bantahnya lagi. “Ha, lagipun aku belum masak nasi lagi ni.” Boleh pula dia terfikir alasan begitu. Tapi memang sungguh pun dia belum masak nasi lagi.

Hazel terdiam. Dengan wajah cemberut dan tidak rela, kepalanya diangguk. “Yalah... Yalah…” ucapnya kecewa.

“Janganlah risau. Banyak peluang lagi nak jumpa ustaz tu. Kau lama lagi dekat sini, kan?” Siti terus memujuk. Bahu sahabatnya itu ditepuk perlahan.

Ermmm… Okey.” Perlahan Hazel membalas dengan mulut memuncung. Kecewa tidak tercapai apa yang dihajati. Tidak terus menunggu di situ, langkah diatur kembali dengan agak kasar menunjukkan rasa tidak puas hatinya.


Melihat reaksi sahabatnya itu, Siti tarik nafas lega. Hurmm… Nasib baik mendengar kata juga minah ni walaupun tetap memberontak marah. Pheuwww!

Wednesday 23 August 2017

Prolog




Tettt…
Tettt…
Tettt…

Sudah sebulan dan hanya bunyi itu sahaja yang menyapa pendengarannya. Tubuh zaujah kesayangannya itu masih kaku dengan mata terpejam rapat seolah-olah sedang
lena dan berada di alam yang duduknya entah di mana.

“Sayanggg,” bisiknya perlahan. Jemari yang masih terkulai layu itu digenggam semakin kemas dan sesekali dikucup dengan sepenuh kasih sayang. “Dah lama abang tak dengar suara sayang, tak lihat senyuman cantik sayang dan tawa manja sayang. Bangunlah… Abang rindu.” Suara berbisik semakin sayu. Jemari itu dikucup lagi dengan esakan kecil yang mula menyapa.

“Abang...”

“Abang...”

Terdengar suara lembut umi menyapa, laju kepalanya dipalingkan ke sebelah. Wajah wanita separuh umur itu dipandang dengan senyum nipis di bibir. Senyum yang antara segan atau sayu untuk dipamerkan.

“Umi...” Perlahan sapaan itu dibalas walau sebenarnya mulut semakin berat untuk bersuara. Mata yang masih basah segera diseka.

“Abang dah makan?” Bahu anak lelaki kesayangan itu diusap. Melihat wajah sayu dan hampir tidak terurus itu, dia tahu apa yang Anas rasa. Hati mana yang tidak tersentak dan hiba melihat keadaan isteri yang longlai dan layu tidak bermaya begitu? Tetapi inilah ujian yang Allah hadirkan buat Anas. Benarlah semakin kita berpegang teguh kepada ajaran- Nya, semakin kuat ujian yang akan diberikan untuk menguji sejauh mana kita reda dan ikhlas menerima semua ujian tersebut. Dia juga tahu Anas reda walau jauh di sudut hati Anas menanggung sakit yang tidak terucap.

Kepala digeleng.

“Kenapa tak makan? Kalau abang terus macam ni, umi takut abang yang sakit nanti. Kalau Khalida sedar dan nampak keadaan abang yang tak bermaya macam ni, tentu dia sedih. Abang nak tengok isteri abang sedih?” pujuk umi dengan suara yang ditahan-tahan. Hati ibu mana yang sanggup melihat derita yang ditanggung oleh insan yang disayanginya begitu. Walaupun hatinya pedih, hati Anas
tentu lebih terseksa lagi.

“Abang tak lapar lagi, umi. Pagi tadi abang dah makan. Cukuplah untuk alas perut abang sementara tunggu Khalida di sini,” balasnya lembut.

“Janganlah macam ni. Semua orang risaukan abang. Kami semua sayangkan abang dan kami tak nak abang sakit. Abang makan, ya?” Hajah Noraini masih belum jemu memujuk.

“Yalah, umi. Sekejap lagi abang makan.” Akhirnya dia kalah. Kalah dengan pujukan lembut umi yang begitu tunak mengusik hati.

Hajah Noraini terus duduk. Betul-betul di sebelah Anas. “Doktor cakap apa tentang Khalida?” Mata terus terarah pada wajah yang pucat tak berdarah di hadapannya itu.

Anas terdiam. Kepala ditundukkan dan perlahanlahan nafas kecil dilepaskan. “Keadaan Khalida tetap sama, umi. Jawapan doktor juga masih sama. Bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku,” ucapnya hiba. Mata yang sudah mula digenangi air jernih pantas diseka.

“Berdoa, abang. Semoga aturan Allah lebih indah daripada apa yang disampaikan oleh manusia. Percaya akan kekuasaan-Nya. Dia lebih mengetahui apa yang kita tidak pernah tahu.” Jemari Anas diraih dan digenggam untuk ditenangkan.

Anas mengangguk. “Abang tahu, umi. Abang reda walau apapun yang akan berlaku nanti. Walaupun doa abang tak henti-henti memohon supaya Khalida buka mata dan pandang abang dengan senyum manisnya seperti selalu, tetapi jika Allah berkehendak kepada yang lain, abang reda,” ucapnya sebak. Air mata yang ditahan terus jatuh. Perlahan dan akhirnya laju tanpa mampu ditahan-tahan lagi.

“Abang...” Hajah Noraini turut tidak dapat menahan rasa. Pegangan tangannya dilepaskan dan bahu
anak lelakinya itu diusap-usap untuk ditenangkan.

Anas masih begitu. Tersenggut-senggut menahan tangis daripada terhambur kuat. Kepalanya terus dipaling memandang wajah pucat lesi di hadapannya itu. Wajah yang selalu ceria itu sudah hilang serinya. Bibir yang lincah bersuara itu juga terkatup dan terkunci rapat seolah-olah sudah jemu untuk berbicara dengannya. Nur Khalida kesayanganku, bangunlah dan sedarlah, bisiknya berkali-kali
bersama tangis yang masih juga tidak mahu berhenti.

“Abang… Istighfar. Ingat Allah.” Bahu Anas diusap-usap untuk ditenangkan.

Tersentak mendengar pujukan umi, nafasnya dihela dan dia terus beristighfar. Allah… Aku reda… Ya Allah, sesungguhnya aku reda walau apapun yang telah Engkau takdirkan. Aku reda Ya Allah kerana sesungguhnya hidup mati kami terletak di tangan-Mu. 

Sayangku Nur Khalida, andai setakat ini perjalananmu di bumi Allah, abang reda. Andai setakat ini
Allah pinjamkanmu untuk abang, abang ikhlaskan. Pergilah… Pergilah jika keredaan dan keikhlasan abang yang menghalang perjalananmu ke alam abadi, bisiknya dengan seikhlas hati.

Tettt!
Tettt!
Tettttttt!

Wednesday 10 May 2017

Bab 8






Setelah mengharungi perjalanan hampir empat jam, akhirnya mereka sampai juga ke tempat yang di tuju. Sebaik menghantar Shaqir ke rumah ibu saudaranya, Redza rerus memandu keretanya ke rumah orang tuanya. Masuk sahaja ke perkarangan rumah, kereta kereta terus diparkirkan. Enjin dimatikan dan dia terus keluar. Jeslina ikut sama keluar. Elok kaki berdiri di muka tangga, salam dilaung.
Senyap.
Salam dilaung lagi dan masih juga tiada sesiapa yang menyahut. Dengan kerutan di dahi, rumah yang kelihatan sunyi itu diperhati. Semuanya bertutup. Puas ditelek sekeliling tetapi sepi sahaja. Salamnya juga langsung tiada yang sambut. Pelik, kemana pula kedua-dua orang tuanya pergi? Bukankah sudah diberitahu dari seminggu yang lepas lagi yang mereka akan balik hari itu?
"Sunyi aje rumah mak abang ni. Tak ada orang ke?" Jeslina turut kerutkan dahi. Tak mungkin orang tua Redza tiada sedangkan mereka tahu dia dan Redza akan balik ke kampung bersama.
Redza jungkit bahu. Salam dilaung lagi semakin lantang dari tadi. 
Masih senyap dan tiada jawapan. 
"Pelik ni. Mana mak dengan abah dah pergi?" keluhnya perlahan.
"Abang tak cuba call?" Redza dipandang semula. 
Redza lepaskan tawa kecil dan dahinya digaru. "Iyalah, kenapa abang tak terfikir dari tadi?" Balasnya dan telefon bimbit di dalam kereta terus diambil. Nombor telefon abahnya didail. Lama menunggu dan akhirnya panggilannya bersambut. Setelah berbual seketika, talian dimatikan. 
"Macam mana?" cepat sahaja Jeslina bertanya. Apa tidaknya, risau juga dia dengan keadaan mereka sekarang.
"Mak dengan abah ke rumah Ateh dekat Raub sebab adik abang tu bersalin pagi tadi. Bersalin anak pertama tu yang kalut orang tua tu." Beritahunya. "Pergi pun tergesa-gesa sampai terlupa nak call abang beritahu." Sambungnya bersama keluhan kecil.
"Habis tu sekarang macam mana? Tak kan Jes nak duduk berdua aje dengan abang?" Jeslina kerutkan dahi. Berdebar pula rasanya apabila memikirkan tentang hal itu. 
Tawa Redza terus terhambur. Wajah tunang yang sudah berubah kalut itu dipandang gelihati. 
"Sayang, takkan abang nak ambil risiko duduk berdua dengan sayang dalam satu rumah? Memanglah best sebab dapat kahwin cepat kalau tiba-tiba kena tangkap tapi abang tak suka ambil kesempatan dengan cara macam tu. Abang pinang sayang dengan baik jadi urusan pernikahan dan perkahwinan juga biarlah dengan cara yang baik juga." balasnya lembut. "Abang nak perkahwinan kita menjadi satu kenangan terindah dalam hidup abang tapi bukan dengan cara macam tu. Dengan memalukan keluarga."  Ucapnya sambil lembut mata menala pandangan ke arah tunang di hadapannya.
Jeslina turut tersenyum. Lega rasanya mendengar kata-kata Redza tadi. Dia tahu Redza bukan jenis lelaki yang suka mengambil kesempatan. Selama mereka bersama, tidak pernah sekalipun Redza melakukan sesuatu yang melebihi batasan. Memang betul sangat apa yang Aton katakan, dia memang bertuah memiliki lelaki seperti Redza. Maklumlah, lelaki yang baik bukan senang dicari jadi bila ada di hadapan mata tak mungkin dia akan lepaskan.
"Habis tu sekarang macam mana? Jes nak tidur mana?" Sibuk memuji tunang sendiri sampai terlupa di mana mereka sekarang.
Redza terdiam sambil berkerut-kerut dahi memikir. 
"Ada hotel tak? Biar Jes tidur dekat hotel ajelah." Jeslina memberi cadangan. Dia bukannya ada saudara mara di situ jadi ke mana lagi yang dia boleh pergi? 
"Ermmm...apa kata sayang tidur rumah Shark untuk malam ni. Kalau sayang dekat sana abang tak risau sangat sebab ada mak ngah dan adik perempuan Shark buat teman." tidak bersetuju dengan cadangan Jeslina, Redza memberi cadangan lain. Di situ bukannya tiada hotel tapi rasa tak betah pula membiarkan tunangnya itu bermalam agak berjauhan dari kampung dan ditempat yang asing begitu. 
"Shark?!" Bulat mata Jeslina memandang Redza. Tubuh yang sedari tadi bersandar di pintu kereta terus ditegakkan. Redza gila nak suruh dia bermalam di rumah Shaqir? Oh, tidaklah!
"Untuk malam ni aje sayang. Lagipun ada makcik dan adik Shark sekali bukan bermalam berdua aje dengan dia." pujuk Redza lembut. 
"Malulah!" Tangan dipelukkan ke tubuh. Sebenarnya bukan malu tetapi lebih kepada tidak selesa atau malas berdepan dengan lelaki itu. Berada di dalam satu kereta pun dah rasa semacam inikan pula hendak duduk serumah walau untuk semalaman.  "Biar Jes stay dekat hotel ajelah." tolaknya lagi. 
"Hotel jauh sikit dari kampung ni. Lagipun abang tak sampai hati nak biarkan sayang stay dekat hotel seorang." 
"Better hotel dari rumah Shark, abang." tegas Jeslina lagi. Dengusan kecil dilepaskan.
"Sayanggg...janganlah macam ni. Okey, kalau sayang malu, apa kata malam ni abang ikut tidur di rumah Shark. Macam mana?" 
Senyap. 
Melihat tunang yang sudah membisu ditempatnya, Redza tersenyum. "Orang kata diam tu tandanya setuju.  So, abang anggapkan sayang setuju ya dengan cadangan abang tadi?" Sengaja dia memerangkap Jeslina dengan kenyataan begitu. Biar tunangnya itu tidak mampu hendak menolak lagi.
Jeslina mendengus. Redza dijeling. 
"Janganlah buat muka macam tu. Abang lagi suka tengok muka manis tunang abang dari muka yang masam mencuka macam ni." giat Redza dengan senyuman. 
"Abang ni..." terusik dengan kata-kata Redza, Jeslina tersenyum malu. Ermm…pandai sahaja Redza mengambil hatinya.
"Dah boleh senyum tu kira okeylah tu kan? So, jom kita ke rumah mak ngah, Shark. Lagipun dah lewat ni abang belum solat zohor lagi. Sayang pun tahu kan tak baik melambat-lambatkan solat." Ajaknya.
Apabila soal ibadah dibangkitkan, Jeslina akhirnya terpaksa akur. Dalam keadaan separuh rela, pintu kereta dibuka dan tubuh terus diloloskan di dalam perut kereta.


“Jemput minum.” Pelawa mak ngah Iman, ramah.
“Maaflah mak ngah menyusahkan mak ngah hari ni. Kalau ikut tunang saya ni, dia nak bermalam di hotel aje tapi saya yang tak izinkan. Hotel sudahlah jauh dari sini, dia sorang-sorang pulak tu.” Balas Redza panjang lebar. Nasib baiklah hubungannya dengan mak ngah Iman sudah seperti keluarga sendiri jadi tidaklah malu hendak meminta pertolongan begitu.
“Allah, kamu Redza. Macam tak biasa pulak dengan mak ngah. Si Jes ni menumpang setakat semalam aje, tak adalah menyusahkan pun. Nak tumpang lama sikit pun tak apa, mak ngah lagi suka.” Pintas mak ngah bersungguh. Jeslina dan Redza dipandang silih berganti.
“Haish, mana boleh lama-lama mak ngah, lusa dah nak balik.” Balas Redza dengan tawa dihujung suaranya.
“Hurmm…kamu ni.  Sesekali balik cubalah lama sikit. Sudahlah susah nak balik kampung. Sama aje macam Shaqir ni. Puas dah mak ngah suruh balik, macam-macam alasannya.” Mak ngah Iman sudah mula membebel. Shaqir dijeling.
“Mak ngah…” laju Shaqir menyampuk. Sebelum mak ngah nya membebel lebih panjang lagi, lebih baiklah dia mencelah dulu. Kalau tidak, meleret-leret nanti bebelannya.
“Betullah apa yang mak ngah cakap tu. Kamu tu, dah dekat tiga bulan tak balik. Sibuk memanjang. Ini pun dah puas mak ngah call barulah nak balik.” Bedil mak ngah Iman lagi.
Shaqir tersengih. Dengan kerutan di dahi, rambutnya digaru.
Redza yang melihat sahabatnya dibebel, hanya tersengih sahaja. Dia bukan tak tahu, sibuk dan Shaqir memang tak dapat dipisahkan.
Puas membebelkan anak saudara sendiri, mak ngan Iman menoleh ke sebelah pula. Terpandangkan Jeslina yang hanya diam membisu ditempatnya, gadis itu ditegur. “Minum Jes. Kenapa ditengok aje air tu?” ramah dia bersuara.
Perlahan-lahan Jeslina anggukkan kepala.  “Terima kasih mak ngah. Terima kasih juga sudi tumpangkan Jes bermalam di sini.” ucapnya dengan senyuman. Mulanya dia rasa tidak selesa tetapi apabila melihat layanan baik mak ngah Iman sejak tadi, lega pula hatinya. Apa yang paling dia suka sejak menjejak masuk ke rumah kampung separuh batu itu adalah dapat melihat Shaqir dibebel begitu. Hurmm…padan muka. Memang puas hati dia! Ejeknya dalam hati.
Mak ngah Iman menggeleng. “Perkara kecil aje Jes. Minum dulu. Lepas tu boleh masuk bilik Intan. Berehat-rehat dulu. Mesti penat jalan jauh.” Suruhnya. “Intan, lepas ni bawa kak Jes masuk bilik” Intan yang sedang duduk tidak jauh dari situ dipandang.
Intan hanya mengangguk sahaja. “Kalau kak Jes nak masuk bilik, jomlah.”ajaknya.
“Biarlah kak Jes minum dulu.” Celah mak ngah Iman bersama gelengan. Tetamu belum sempat menjamah air sibuk diajaknya ke bilik. 
Jeslina tersenyum. Pantas cawan di atas meja dicapai dan dihirup. Sebaik meletakkan semula cawan tersebut ke atas meja, dia terus berdiri.
“Shark, jom solat dekat surau. Lama dah tak jengah surau kampung.” Celah Redza sambil menala pandang ke arah Shaqir di sebelah.
Shaqir berdeham dan terdiam seketika. Kepala diangkat dan saat itu juga pandangannya dan Jeslina bersatu. Ketika mata bertaut, bibir terus menguntum senyum dengan semanis yang mungkin.
Tergamam melihat riak Shaqir ketika itu, cepat-cepat Jeslina palingkan wajah dan buka langkah.  Laju kaki diayun menghampiri Intan. Entah kenapa, pandangan dari sepasang mata galak lelaki itu membuatkan hatinya bergetar lagi.
Melihat Shaqir yang begitu ralit memandang Jeslina, Redza mendengus perlahan. “Shark!” Bahu sahabatnya itu ditepuk. Amboi, bukan main lagi merenung tunangnya. Panas pula hatinya melihat keadaan itu. Orang lain mungkin dia tidak kisah tetapi kalau Jeslina memang dia terlalu ambil kisah.
“Huh!” Terkejut diperlakukan begitu, cepat-cepat Shaqir berpaling.
“Tengok apa?”
Laju Shaqir gelengkan kepala.  “Tak ada apa.” Balasnya teragak-agak dan bingkas bangun. Bersama dehaman, Redza dipandang semula. “Ha, tadi kata nak pergi surau, jomlah.” Tegurnya apabila Redza masih duduk ditempatnya. Tidak menunggu lagi dia terus buka langkah. Sebenarnya kalut juga dia disergah begitu dengan Redza tadi. Kalau dia bukan sesiapa dengan Redza, entah-entah sudah lebam biji matanya dikerjakan. Shark…Shark…kalau nak tengok pun pandai-pandailah cover line. Tunang orang tu! Haish!
Dengan riak yang masih seperti tadi, Redza ikut bangun dan mengekor di sebelah Shaqir.
“Masuklah kak. Bilik Intan ni kecil aje. Maaflah kalau tak selesa.” Malu-malu Intan bersuara. Bilik rumah kampung yang hanya seluas sepuluh kali sepuluh kaki itu dipandang seolah itulah kali pertama dia masuk ke dalam bilik itu. Melihat cadar katil yang sedikit renyuk cepat sahaja langkah diatur menuju katil dan cadar dikemaskan.
“Tak apa, Intan. Kak Jes okey aje. Tak payah nak beria.” Melihat Intan yang segan-segan menunjukkan biliknya, Jeslina tersenyum. Bukannya dia tidak pernah tinggal di kampung, malah keadaan begitu sudah biasa baginya.
Intan tersengih walau dalam keadaan tersipu-sipu.
Beg pakaian yang dibawa diletakkan ke atas lantai dan Intan dihampiri. “Intan belajar lagi?” soalnya sebaik duduk di birai katil. Sengaja hendak beramah mesra.
“Belajar.” Sepatah soalannya dibalas.
“Tingkatan berapa?”
“Lima.”
“Tahun ni SPM lah ya?” Jeslina masih terus beramah mesra walau Intan seakan malu-malu hendak membalas setiap patah katanya.
Intan mengangguk.
Jeslina terdiam dan senyum. Dia pasti Intan tentu malu dengan kehadirannya di situ. Apa tidaknya, soalan-soalannya hanya sepatah sahaja dijawab.
“Hurmmm…kak Jes nak solat dulu. Dah nak masuk pukul tiga dah ni. Boleh Intan tunjukkan arah kiblat dan bilik air?” Jeslina terus berdiri dan menamatkan perbualan mereka.
Bersama anggukan, Intan turut berdiri. Arah kiblat ditunjukkan dan dia terus mengajak Jeslina keluar untuk menunjukkan bilik air yang terletak bersebelahan dapur.
Jeslina akur dan mengekor sahaja di sebelah gadis itu. Tak apa, malam nanti dia masih ada masa untuk berbual mesra. Bisiknya dalam hati.



Bab 7

“Hati-hati bawa kereta Redza. Jes, jaga diri baik-baik dekat tempat orang.” Pesan Puan Fauziah mengingatkan. Bimbang juga dia membiarkan Redza dan anak gadisnya berdua-duaan begitu walaupun mereka sudah bertunang. Lagipun ikatan tersebut bukannya ikatan yang membolehkan mereka ke sana ke mari dengan sesuka hati begitu. Ketika bertunang itulah segalanya perlu dijaga takut terlajak tingkah laku.
Redza tersenyum. “Baik mak cik. Insya-Allah, saya akan jaga anak mak cik ni baik-baik.” Ucapnya berjanji sambil mengerling tunangnya sekali lalu.
“Mama janganlah risau. Insya-Allah tahulah Jes jaga diri.” Tangan puan Fauziah diraih dan dipeluk.
“Risaulah. Selagi kamu berdua tak kahwin selagi itulah mama risau.” Luahnya bersama helaan nafas perlahan.
Jeslina dan Redza tersenyum.
“Kami akan jaga diri mak cik. Saya pun tahu batas-batasnya.” Akur Redza lagi. Jeslina mengangguk mengiakan.
“Iyalah…iyalah. Dah pergi, nanti lewat sampai kampung.” Akhirnya puan Fauziah mengalah. Orang muda walau apa yang dikatakan, pasti ada sahaja jawapan mereka. Mereka bukannya tahu hati orang tua sepertinya bagaimana.
Redza mengangguk. Luggage milik Jeslina dicapai dan terus dimasukkan ke dalam bonet kereta sebelum bakal ibu mertuanya itu dihampiri semula.
“Saya minta diri dulu mak cik.” Ucapnya sopan.
Puan Fauziah mengangguk. “Iyalah. Hati-hati.” Pesannya lagi.
“Jes pergi dulu ma.” Tangan puan Fauziah diraih dan dikucup kemudian langkah terus diayun menuju ke kereta. Sebaik pintu dibuka, tubuh terus diloloskan ke dalam kereta.
“Kita pergi ambil Shark dulu ya. Shark pun nak balik kampung.” Tali pinggang keledar di tarik dan tunang di sebelah dikerling. Dia tahu pasti banyak yang perlu dijawabnya sebaik nama Shaqir disebut sebab itulah dia langsung tidak menyebut nama Shaqir tadi.
Tangan yang sedang memegang tali pinggang keledar terus terkaku. “Shark?” soalnya dengan kerutan di dahi.
Redza mengangguk.
“Kenapa dia perlu ikut kita sekali?” Shaqir memang suka menyibuk. Macam tak boleh nak balik kampungnya sendiri. Sibuk nak mengekor orang! Bebelnya dalam hati.
“Kereta dia rosak Jes. Kebetulan mak ngah Iman suruh dia balik juga minggu ni. Ada hal penting katanya.” Redza cuba memujuk. Dia tahu Jeslina tidak suka dengan perancangan tersebut tetapi sebagai seorang kawan tak mungkin dia membiarkan Shaqir kalau pertolongannya diperlukan. Lagipun laluan mereka sehala.  Balik ke kampung yang sama.
“Jes tak sukalah.” Guman Jeslina dengan wajah cemberut.
Melihat riak tunang kesayangannya itu, Redza tersenyum. Kereta terus dipandu pergi. Berlama-lama di situ, bimbang bakal ibu mertuanya itu terfikir lain pula.
“Sayang, Shark minta tolong abang dan abang tak mampu nak tolak. Kebetulan kita pun nak balik kampung jadi tak salah kalau kita balik sekali.” Semakin lembut Redza berbicara. Walaupun Jeslina bereaksi begitu tetapi dia tahu tunangnya itu bukannya gadis  berhati batu dan susah hendak dipujuk.  
Jeslina mendengus. Ingatkan kerjasama ketika perkahwinan Darwina dan Iskandar minggu lepas adalah pertemuan terakhir mereka tetapi lain pula yang berlaku.
“Lagipun, sayang kenalah berbaik dengan Shark. Kata nak minta Shark yang jadi photographer masa wedding kita nanti.” Redza jungkitkan kening. Senyum dibuka seluas mungkin.
Bunyi dengusan Jeslina kedengaran semakin kuat. Kepala ditolehkan ke arah lain. Itu yang susahnya. Itulah siapa suruh tengok album gambar perkahwinan Darwina dan Iskandar? Kan dah terjatuh suka.
“Sayang please. Shark tengah tunggu kita sekarang.” Pujuk Redza hampir putus asa.
“Sayang..” panggil Redza lagi apabila tunangnya itu hanya diam membatu ditempatnya.
Tidak betah untuk mendengar pujukan demi pujukan lembut itu akhirnya Jeslina mengalah. “Okey…okey..” Akurnya. 
Redza buang senyum. “Thanks.” Ucapnya dan kereta terus dipandu menuju ke rumah Shaqir yang terletak di Shah Alam.
Sebaik sampai sahaja di hadapan rumah Shaqir, kereta terus diberhentikan. Telefon bimbit dicapai dan nombor telefon Shaqir didail. Setelah berbual seketika, telefon bimbit diletakkan semula.
“Ini rumah dia?” Jeslina tebarkan pandangan ke arah rumah teres dua tingkat bahagian lot tepi itu dengan penuh minat. Cantik. Berpagar batu tetapi tetap ada ruang kecil yang boleh nampak décor di dalamnya. Waterfall buatan yang kelihatan dari celah-celah batu di halaman rumahnya begitu menarik minatnya. Nampak tenang dan damai sahaja.
Redza mengangguk.
“Jurugambar pun boleh ada rumah cantik macam ni?” Jeslina mencemik seakan mengejek.
“Dia jurugambar dan designer professional Jes. Bukan jurugambar cikai-cikai tu.” Terang redza dengan tawa kecil di bibir. Boleh pula Jeslina berfikiran begitu. Kalaulah Jeslina tahu bagaimana jerihnya Shaqir untuk memiliki semua itu pasti tunangnya itu akan kagum dengan lelaki itu. Itulah, mungkin kesusahan menjadikan sahabatnya itu seorang yang begitu gigih mengejar apa yang diimpikan.
Jeslina masih begitu. Masih dengan riak meluat di wajahnya.
“Ha, itu pun dia.” Terpandangkan kelibat Shaqir dari cermin sisi, Redza menyambung bicaranya.
Jeslina turut tolehkan kepala ke belakang sedikit. “Jes duduk belakanglah.” Belum sempat Redza membalas dia terus keluar dan duduk ditempat duduk belakang.
 “Sorry lambat sikit.”  Sapa Shaqir sebaik masuk ke dalam perut kereta.
“Mesti baru bangunlah ni.” Redza gelengkan kepala. Shaqir bukannya dia tidak tahu, suka sangat tidur lewat pagi.
Shaqir tersengih dan tali pinggang ditarik.
“Aku baru sampai dari Milan awal pagi tadi. Itu yang lambat bangun.” Shaqir menjelaskan.
“Milan? Kau buat apa dekat sana? Photoshoot?” Redza kerutkan dahi. Maknanya Shaqir menghubungi semalam dari Milan lah?
“Ada pertandingan rekaan fesyen dekat sana dan aku kena cover event tu untuk satu majalah international.” balasnya dan pandangan dibuangkan ke belakang seketika. “Hai Jes.” Sapanya dengan senyum lebar di bibir.
Tidak menjawab sapaan lelaki itu, Jeslina hanya mengangguk sahaja sebelum pandangan dibuangkan keluar.
Melihat reaksi gadis itu, senyum Shaqir menjadi semakin lebar dan duduknya dibetulkan.
“Lama ke kau dekat sana? Aku tak tahu pun.”  Redza menyambung bicaranya dan kereta terus dipandu keluar dari situ.
“Seminggu jugaklah aku dekat sana. Aku pergi pun dah last minute punya arrangement. Maybe photographer sebelum tu tarik diri sebab itulah editor magazine tu contact aku.” panjang lebar Shaqir bercerita.
“Okeylah tu boleh tengok Negara orang.” Redza membalas dan stering keretanya dipusingkan ke kiri untuk keluar dari kawasan perumahan sahabatnya itu.
“Aku suka job luar sebab income pun lebat walaupun penat dan terkejar-kejar.” Sambung Shaqir lagi sambil ketawa. Sesekali pandangannya akan dilirikkan ke belakang memerhati Jeslina yang masih leka merenung ke luar.
“Kahwinlah Shark. Kau tu sepatutnya dah kahwin dah. Simpan duit banyak-banyak buat apa?” giat Redza ikut sama ketawa.
“Memang nak kahwin pun tapi perempuan  tu tak nak dekat aku.” ucapnya dengan tawa yang masih bersisa. Kepalanya ditolehkan ke belakang semula.  
Mendengar kata-kata Shaqir, spontan itu Jeslina palingkan wajah memandang lelaki itu. Dan di saat itu jugalah pandangan mereka bersatu. Tidak selesa dengan renungan dari sepasang mata redup yang galak itu, cepat-cepat kepalanya dipalingkan ke sebelah semula dengan debaran yang tiba-tiba mengocak dada. Ya Allah, kenapa hatinya tiba-tiba berentak luar biasa sedangkan pandangan itu sudah biasa dilihatnya. Dan spontan itu, tangan diangkat dan dadanya diusap perlahan untuk meredakan degupan yang sedang berkocak hebat.
“Pelik. Siapa yang tak nak dengan kau? Lelaki punya pakej macam kau ada yang tolak? Ada rupa dan berduit. Ermm… memang butalah perempuan  tu.” Selamba Redza mengutuk.  
Tawa Shaqir terhambur lagi. Semakin kuat dari tadi dan kepalanya digeleng.
“Aku jahat agaknya sebab itulah orang tu tak suka.” Jeslina dikerling lagi.
“Kau tu nakal bukan jahat. Itulah lain kali cuba serius sikit. Kalau kau asyik main-main perempuan  pun takut nak ada komitmen dengan kau.”  Redza cuba menasihati.
“Sudahlah cakap pasal hal ni. Ada jodoh dan sampai masa nanti aku kahwinlah.” Balasnya.
“Shark, jodoh pun kena cari tau bukannya akan datang bergolek-golek.” Sambung Redza lagi bersama tawa kecil.  
“Dza, berhenti mana-mana kita makan dulu. Kebulur dah aku ni. Rindu rasanya nak makan nasi lemak dan minum teh tarik.” Malas hendak memanjangkan isu tersebut, cepat sahaja Shaqir mengubah perbualan mereka.
Redza mengangguk. “Sayang, kita berhenti makan dulu ya.” Jeslina dipandang melalui cermin pandang belakang sekilas sebelum pandangan dibuangkan ke hadapan semula.
“Okey.” Sepatah Jeslina membalas. Entah kenapa bicaranya seakan terkunci lebih-lebih lagi selepas mendengar perbualan Redza dan Shaqir tadi. Entahlah samada dia hanya perasan atau apa, tapi dia yakin perempuan  yang diperkatakan oleh Shaqir tadi adalah dirinya sendiri.










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...