Followers

Friday 21 December 2012

Tolong cintai aku...untuk sekali lagi...Bab 1


Bab 1

"Wait..."

Mendengar jeritan perempuan yang masih tidak kelihatan lagi itu, Haiqarl terus saja menekan butang buka pintu lif tersebut. Kepalanya dijengahkan keluar sedikit. Tidak jauh dari situ kelihatan seorang perempuan sedang berjalan terburu-buru menghala ke  arah lif tersebut.

"Thank you.." tutur perempuan itu lagi sambil tersenyum nipis memandang ke arahnya sambil tangannya menekan butang ke tingkat 14.

"You are welcome.." sepatah Haiqarl membalas sambil matanya masih lagi leka memandang ke arah perempuan tersebut. Cantik. Hanya sepatah perkataan itu saja yang keluar dari hatinya. Memang perempuan di hadapannya itu cantik orangnya. Briefcase jenama Guess di tangan wanita itu dikerling sekilas. Kemudian matanya dihalakan ke arah penampilan perempuan itu semula. Dari atas ke bawah tubuh perempuan itu diperhati. Rambut perangnya kemas didandan. Penampilannya pula sangat elegan. Kasut tumit tinggi 3 inci menambahkan lagi ketinggian perempuan itu dan hampir menyamai ketinggiannya. Dengan mengenakan kemeja berbelang, kot berwarna coklat gelap dan skirt pendek paras lutut dengan warna yang sama, kelihatannya wanita tersebut tentu bukan sembarangan jawatannya. Tingkah Haiqarl di dalam hati. Dalam diam dia menilai perempuan itu tanpa sedar.

"Thanks again..." tutur perempuan itu lagi sambil memandang ke arah Haiqal sekilas sebaik saja pintu lif tersebut terbuka dan terus saja keluar dari situ. 

Sebaik pintu lif tertutup semula, Haiqarl terus menggelengkan kepalanya. Dahinya ditepuk perlahan. Apa dah jadi dengan kau Haiqarl? Jumpa perempuan cantik macam tu, kau cuma mampu pandang sahaja? Marahnya pada diri sendiri. Tak pernah selama ini dia hanya berdiam diri apabila berdepan dengan perempuan secantik itu. Paling tidak nombor telefon perempuan itu sudah pasti berada di genggaman sekarang tapi entah kenapa dia hanya terdiam dan terpaku saja memandang perempuan tadi.


"Kau apahal bro?" soal Ikram sambil menepuk bahu sahabatnya itu. Pelik betul melihat keadaan Haiqarl yang seperti hilang sesuatu saja ketika itu. Sejak menapak ke pejabatnya setengah jam tadi, begitulah keadaan Haiqarl. Tidak senang duduk saja gayanya.

Haiqarl tersentak. "Apahal?" soalnya hairan.

"Kau tu apahal? Lain macam aje aku tengok."

"Aku?"

"Ha'ah...kau apahal?"

"Aku okay je."

Ikram terus tergelak.

"Okay apanya kalau macam orang sasau je aku tengok,."

Haiqarl terus mendengus perlahan sambil menggelengkan kepalanya. Nampak sangat ke dia macam orang yang menyesal sekarang?

"Am...aku nak tanya kau ni. Dekat tingkat 14 tu office apa?"

Sudah berkerut dahi Ikram mendengar soalan sahabatnya yang seorang itu. Pelik.

"Kenapa?" soalnya hairan.

"Saja nak tahu sebab tadi aku tersalah tekan lif  ke tingkat 14."

"Dah salah tekan tu kenapa tak tengok jer office apa yang ada dekat situ."

"Kau ni. Pakai akallah sikit. Tak kan aku nak bodoh-bodoh masuk pejabat tu dan tanya ni syarikat apa? Akai ada ka.." tingkah Haiqarl sedikit keras. Apa ke bodoh punya kawan.

Ikram sudah tergelak besar mendengar kata-kata Haiqarl. Serius saja bunyinya.

"Syarikat pengangkutan. Pemilik dia Tan Sri Syed Abu Bakar."

Haiqarl yang sedang berbaring di atas sofa bilik Ikram terus terbangun. "Company besar ke?"

"Boleh tahanlah sebab setahu aku syarikat tu antara syarikat pengangkutan terbesar dalam Malaysia. Apasal kau tanya?"

"Saja nak tau."

Malas hendak bertanya banyak, Ikram hanya mengangguk saja.

"Qarl, kau ni dah sebulan lebih balik dari Perancis kan? So tak ada plan ke nak kerja dengan papa kau?" soal Ikram sambil memanah pandang ke arah sahabat di hadapannya itu. Setiap kali dia bertemu dengan Datuk Zikri, memang itulah yang sering mereka bincangkan. Datuk Zikri betul-betul berharap Haiqarl dapat membantunya. Sudah lima tahun Haiqarl berada di Perancis dan bekerja di sana, dia ingatkan apabila Haiqarl kembali ke Malaysia Haiqarl akan membantu papanya tapi dah sebulan balik Haiqarl masih tak buat apa-apa pun lagi.

Mendengar soalan Ikram, Haiqarl terus mematikan diri. Dia bukan tak  nak bekerja dengan syarikat papanya tapi dia tak berminat langsung dalam bidang hartanah. Dia lebih suka bidang pengiklanan dan itulah kerjaya yang dilakukan sepanjang di Perancis dulu. Bidang yang glamour dan dikelilingi dengan perempuan-perempuan cantik. Siapa yang tak suka hidup yang begitu. Cakap saja hendak perempuan yang bagaimana, hanya petik jari sudah pasti berada di dalam genggaman.

"Nantilah aku fikir dulu. Kau tahu kan aku tak minat nak uruskan syarikat tu," acuh tak acuh saja Haiqarl membalas.

"Qarl, kesian sikit dengan papa kau. Dia mengharap sangat dengan kau lagipun adik kau si Haizir tu masih study lagi kan. Nak harapkan Hanina memang tak mungkinlah. Asyik sibuk dengan bidang modelling dia tu aje," pujuk Ikram lagi.

Haiqarl terdiam seketika. Memang ada betulnya apa yang diperkatakan oleh Ikram tapi memang dia tak berminat nak buat macam mana.

"Nantilah, biar aku fikir dulu."

"Berapa lama lagi nak fikir Qarl? Dah sebulan dah kau balik tapi aku tengok kau tak buat apa-apa pun lagi,"

Haiqarl terus terdiam, malas hendak membalas kata-kata sahabatnya itu.


"Qarl, papa harap sangat Qarl boleh bantu papa. Kalau bukan anak-anak papa yang bantu papa uruskan syarikat tu, papa nak harapkan siapa lagi?"  soal Datuk Zikri perlahan. Sudah puas dia memujuk tapi Haiqarl masih juga dengan keras kepalanya. Sudah sebulan balik Malaysia tapi sibuk ke sana ke mari mencari peluang kerja yang dia minat.

Haiqarl terdiam. Pandangannya dihalakan ke arah karpet bulu-bulu belang zebra di hadapannya. Bosan!

"Betul cakap papa tu Qarl. Nak harapkan adik kamu si Hanina tu? Hurm…memang tak boleh di haraplah. Nak tunggu Haizir bantu papa, sekurang-kurangnya kena tunggu 3 tahun lagi. Qarl tak kesian dengan papa ke?" pujuk  Datin Farida pula. Anak lelaki yang hampir mencecah umur 30 tahun itu dipandang tak beriak.

"Biar Qarl fikir dulu pa...ma..lagipun Qarl tak minatlah bidang hartanah ni,"

"Qarl, nak buat sesuatu kerja tu tak semestinya dengan minat tapi buat dengan rasa tanggungjawab. Ini tanggungjawab Qarl pada keluarga. Pada papa...pada mama..." pujuk Datuk Zikri lagi.

Haiqarl terdiam lagi. Buntu dia memikirkannya. Sejak dia pulang sebulan yang lepas, orang tuanya itu tidak habis-habis mendesak supaya dia membantu perniagaan keluarga. Kalau diikutkan hatinya memang dia tidak akan pulang langsung tapi disebabkan rasa tanggungjawab dan kesian pada mamanya dia balik juga.

"Bagi Qarl masa pa,  biar Qarl fikir dulu," perlahan Haiqarl bersuara.

Mendengar jawapan Haiqarl, Datuk Zikri terus melepaskan keluhan berat. Kepalanya digelengkan perlahan.

"Papa terlalu  mengharap Qarl, jadi tolong jangan hampakan harapan papa," akhirnya Datuk Zikri bersuara setelah lama terdiam.

Haiqarl mengangguk. "Okay pa, Qarl faham. Qarl akan fikirkan tentang hal ni."

Saturday 15 December 2012

Tolong cintai aku...untuk sekali lagi... Prolog




'Andai mampu kuputarkan waktu....tak akan kulepaskan eratnya jemarimu......'


Prolog

Sebaik pintu D'Embassy Club itu dibuka, Mellisa terus melangkah masuk. Pandangan matanya dilemparkan kesekeliling kelab tersebut. Sunyi sepi. Sekilas itu jam di tangannya di kerling. Baru pukul lapan malam. Patutlah keadaan kelab tersebut masih lengang lagi. Masih terlalu awal rupanya. Desisnya di dalam hati. Tanpa mengendahkan keadaan ketika itu, Mellisa terus berjalan perlahan menuju ke satu sudut yang berhampiran dengan grand piano diletakkan.

"Lisa"

Mellisa berpaling apabila terdengar namanya diseru oleh seseorang. Melihat kelibat gerangan lelaki yang memanggilnya, Mellisa terus mengukirkan senyuman manis di bibir.

"Where have you been?" soal lelaki cina yang bernama Chris itu sebaik tubuh tinggi lampai Mellisa
dihampiri.

"Holiday," balas Mellisa sepatah dan dengan senyum yang masih mekar di bibir.

"It's almost six months I think.."

Mellisa mengangguk.

"So now, tell me where have you been?"

"Japan...." sepatah lagi Mellisa membalas seolah-olah malas untuk membuka cerita. Baginya biarlah apa yang berlaku hampir setahun yang lalu menjadi sejarah di dalam hidupnya dan kalau boleh kisah itu tidak mahu diingati lagi. Kalau boleh dia lebih rela ianya terus hilang dari ingatan dan selamanya terpadam.

"So, bila you balik sini?" soal Chris lagi masih lagi tidak jemu mengorek cerita.

Mellisa tersenyum nipis. "I baru sampai semalam dan minggu depan I akan balik US.."

Sudah bulat mata lelaki cina tu memandang ke arah Mellisa. "You nak stay sana?" soalnya memohon kepastian.

Sekali lagi Mellisa mengangguk.

Chris melepaskan nafas berat. Kepalanya digelengkan perlahan.

"Why?" soal Mellisa apabila melihat kelat wajah lelaki di hadapannya itu.

"Ermmm….I'm gonna miss you Lisa." perlahan Chris membalas.

Mellisa tergelak kecil. Tidak habis-habis lelaki yang bernama Chris ini cuba mencuri hatinya tapi tak pernah walau sekalipun luahan cinta lelaki itu disambut mesra atau terketuk di dasar hatinya.

"I'm gonna miss you too Chris… but as a friend …a very good friend…"

Chris terdiam. Wajah Mellisa di renung dalam. Mellisa memang cantik orangnya. Berkulit putih, tinggi lampai, berwajah bujur sirih,berbibir mongel, bermata redup dan mempunyai hidung yang  mancung. Wajah kemelayuannya jelas ketara. Rambutnya pula ikal separas dada. Hati siapa yang tidak cair apabila melihat wajah manis itu. Lebih-lebih lagi apabila Mellisa tersenyum. Lesung pipit di bawah bibirnya memang selalu menggugat debaran jantungnya. Walau puas digoda dengan kata cinta tetapi Mellisa tidak pernah tunduk malah tak pernah sudi menerima cintanya sehingga akhirnya Chris akur. Chris berdehem perlahan. Kepalanya digelengkan.  

"I dah lama tak dengar you main grand piano ni. Boleh tak malam ni you nyanyikan satu lagu untuk I dan guest club I ni?" soal Chris cuba mengalih perbualan mereka sambil matanya di alihkan ke arah grand piano di sebelah Mellisa. Sebelum hatinya memintanya menagih cinta wanita di hadapannya itu lagi, lebih baik dia mengalah saja.  Terimalah hakikat Chris...cinta Mellisa bukan untuk kau. Bisiknya di dalam hati. Just forget it ...

Mellisa tersenyum. Sudah lama juga dia tidak bermain piano sebenarnya lebih-lebih lagi sejak dia ke
Jepun. Lagipun piano dan lagu banyak meninggalkan kenangan manis dan pahit di dalam diari hidupnya. Piano sering mengingatkannya kepada seseorang. Seseorang yang dirindui dan selamanya akan bertahkta di hati. Mellisa mengeluh perlahan melepaskan bebanan di hati. 

"Please Lisa…" pinta Chris mengharap apabila Mellisa hanya terdiam membatu di situ.

Akhirnya Mellisa tersenyum dan mengangguk. "Okay… just for you.."

Mendengar jawapan Mellisa, Chris sudah tersengih lebar.

"Thank you my lovely lisa and now... it's yours.." balas Chris pula sambil tangannya sudah diletakkan di atas permukaan grand piano di sebelahnya itu.

Mellisa tersenyum dan terus beranjak ke sebelah. Penutup grand piano itu diusap perlahan sebelum dibuka. Baru saja dia ingin melabuhkan punggungnya, dia terdengar perhiasan kaca di pintu masuk berbunyi. Mellisa berpaling ke arah pintu. Matanya terpaku di situ. Lama. Terasa bagaikan mahu gugur jantungnya sebaik terlihat kelibat tetamu yang baru saja melangkah masuk ketika itu.

"Haiqarl…." Bisik Mellisa perlahan.

Haiqarl yang baru saja melangkah masuk ke kelab itu turut terkaku. Langkahnya terus mati seolah-olah terkunci di situ. Melihat Mellisa berada di situ, di waktu itu dan di ketika itu memang tak pernah dia sangka dan impikan. Setelah hampir setengah tahun berlalu. Selama itu juga sudah puas dia cuba melupakan kenangan mereka bersama dulu walau jauh di sudut hatinya cinta Mellisa tetap utuh di situ. 

"Sayang…"

Haiqarl tersentak apabila tangannya ditarik oleh gadis di sebelahnya. Dia terus berpaling ke arah Shirley yang sudah mencuka memandangnya

"Yeah.." teragak-agak dia membalas.

"Kenapa?"

Haiqarl menggeleng. "Nothing...come.." bisik Haiqarl perlahan sambil memimpin tangan Shirley untuk mengikuti langkahnya.

Melihat kemesraan merpati dua sejoli di hadapan matanya ketika itu, Mellisa terus berpaling dan duduk menghadap grand piano dengan perasaan berbaur di hati. Pedih yang mula bersarang sedari tadi terasa semakin menghiris hati. Bertemu Haiqarl dalam keadaan begitu bukan sesuatu yang dia ingin dan harapkan lebih-lebih lagi apabila melihat Haiqarl bergandingan mesra dengan perempuan lain begitu. Dalam diam satu keluhan berat dilepaskan dan tanpa sedar air mata sudah mula bergenang ditubir mata. Nampaknya Haiqarl tidak terkesan langsung dengan ketiadaannya. Kata-kata Haiqarl seolah-olah terngiang-ngiang di telinga...

"Leave and never come back again!" Pedih...perit! Itu yang dia rasa. Sekali lagi satu keluhan berat dilepaskan. Forget it Mel...end it and move on... pujuknya pada diri sendiri.

Haiqarl pula terus saja berjalan dengan selambanya menuju ke satu meja di sudut hujung tidak jauh dari tempat grand piano tersebut diletakkan sambil memimpin kemas jemari gadis di sebelahnya. Sebaik tiba dimeja yang ingin didudukinya, Haiqarl terus menarik kerusi tersebut kemudian tangan Shirley ditarik untuk duduk di situ.

Sedari tadi Mellisa hanya memandang sahaja apa yang dilakukan oleh Haiqarl dengan ekor matanya. Nafasnya di hela lagi. Kecewa dan terluka dengan keadaan itu, Mellisa terus menancapkan pandangan ke arah grand piano di hadapan. Air mata yang mula menitis dipipinya pantas diseka. Jemarinya diangkatkan dan perlahan-lahan  kekunci piano tersebut ditekan dan dengan penuh perasaan sebuah lagu dimainkan. Lagu yang ditujukan khas untuk satu-satunya lelaki yang dicintainya itu. Semoga you faham dan mengerti Haiqarl....bisiknya di dalam hati.

Aku takpercaya lagi
Dengan apa yang kau beri
Aku Terdampar di sini
Tersudut menunggu mati
Aku tak percaya lagi
Akan guna matahari
Yang dulu mampu terangi
Sudut gelap hati ini

Aku berhenti berharap
Dan menunggu datang gelap
Sampai nanti suatu saat
Tak ada cinta kudapat
Kenapa ada derita
Bila bahagia tercipta
Kenapa ada sang hitam
Bila putih menyenangkan
Haa...

Aku pulang...
Tanpa dendam
Ku terima kekalahanku
Aku pulang...
Tanpa dendam
Ku salutkan kemenanganmu


Haiqarl hanya terdiam kaku di situ. Hanya pandangan matanya saja yang tajam memerhati Mellisa yang sedang leka menyanyi dan bermain piano di hadapannya. Entah kenapa peraaannya begitu terhiris sekali mendengar bait-bait lagu yang dialunkan. Mengingati kembali apa yang pernah Mellisa lakukan, perasaan benci yang tertanam di dalam hati semakin menguasi dirinya. Tetapi walau bagaimanapun dia membenci, walau sudah puas dia cuba membuang jauh nama dan wajah gadis itu dari hati dan mindanya, namun cinta terhadap gadis itu tidak pernah berkurang walau sedikitpun. Selama itu jugalah nama Mellisa tak pernah jauh malah tetap teguh di situ. Biarlah walau apapun yang Mellisa lakukan dulu, tetap wajah itu juga yang menganggu siang dan malamnya. Mellisa.... keluhnya di dalam hati.

Kau ajarkan aku bahagia
Kau ajarkan aku derita
Kau tunjukan aku bahagia
Kau tunjukan aku derita
Kau berikan aku bahagia
Kau berikan aku derita
Aku pulang...
Tanpa dendam
Ku terima kekalahanku
Rebahkan tangguhmu
Lepaskan perlahan
Kau akan mengerti
Semua...


Sebaik saja baris akhir lagu tersebut dialunkan, Mellisa terus menutup kembali grand piano tersebut dan terus saja bangun dari duduknya. Air mata yang masih bertakung ditubir mata diseka lagi. Entah kenapa semakin pilu dan sayu hatinya. Sepantas itu pandangannya dihalakan ke arah Haiqarl yang turut sama memandangnya. Selama beberapa ketika pandangan mereka bersatu di situ. Lama, sebelum akhirnya Mellisa terus berlalu  bersama satu perasaan kecewa yang terbuku di hati.

"I'll pray for your forgiveness, Haiqarl..." bisiknya di dalam hati.

Tuesday 20 November 2012

Biarkan Luka Itu Pergi...Bab 1


“Bos ada call!” dari luar dan disebalik tingkap kaca Iddin menjerit memanggil Ikmal yang sedang sibuk menyiapkan pavlova. Gagang telefon yang digenggam kemas diletakkan di atas meja.

 Ikmal yang sedang leka menyusun buah strawberi dan anggur di atas pavlova terus mendongak dan berpaling kebelakang.

“Siapa?” soalnya lantang.

“Entah, tapi perempuan,” balas Iddin pendek.

“Tanya siapa, nanti abang call semula,” arah Ikmal dan meneruskan kerjanya semula.

Tak membalas Iddin mengangguk. Panggilan tadi disambut semula dan dia mula  bertanya apa yang disuruh. Tidak lama kemudian gagang diletakkan semula dan dia menjerit lagi.

“Bos, perempuan ni nak cakap jugak dengan bos. Dia kata penting,”

Ikmal mendengus. Tak suka betul dia bila kerja-kerjanya diganggu. Malas untuk menolak lagi, dia terus mengambil tuala kecil di atas meja dan mula mengelap tangannya. Kakinya terus melangkah menuju ke luar dan panggilan tersebut dijawab. Salam yang dihulurkan disambut ramah. Sebaik si pemanggil memperkenalkan diri, Ikmal terus mengucap panjang.

“Astagfirullahazim, Ya Allah Hanni, abang betul-betul terlupa. Sorry, buat Hanni tunggu lama,” telah Ikmal sambil mengetuk dahinya menyesali kelalaian diri.  

“Abang tengah sibuk kat belakang tadi,” sambung Ikmal lagi. Macam manalah dia boleh terlupa untuk menjemput Hanni di stesen bas hari ini. Sejak dari semalam lagi ibunya, Puan Maimunah sudah berkali-kali mengingatkannya.

“Tak apa, Hanni baru aje sampai ni,” lembut Hanni membalas.

“Kenapa tak call handphone abang?” soal Ikmal hairan.

“Dah call tapi masuk voice mail,”

Ikmal terdiam. Poket seluarnya diseluk dan telefon bimbitnya dikeluarkan. Melihat telefon bimbit yang sudah tidak bernyawa itu, dahinya ditepuk  lagi.

“Sorry Hanni, telefon abang tak ada bateri. Hanni tunggu kat sana, abang pergi ambil sekarang,”

“Tak menyusahkan abang ke ni? Kalau abang sibuk biar Hanni naik teksi aje,”

“Tak, tak apa. Abang pun bukannya banyak kerja sangat sekarang ni,”

“Kalau macam tu Hanni tunggu kat tempat menunggu bas transnational ni ya,”

“Okay, dalam setengah jam lagi abang sampai,”

Sebaik meletakkan gagang, Ikmal terus terburu-buru hendak keluar. Apron yang dipakainya dibuka dan disangkutkan kekerusi. Baru saja dia sampai di muka pintu dia berpaling semula.

“Din, pavlova yang belum siap tu tolong masukkan dalam fridge. Buah-buahan tu masukkan sekali nanti jadi lembik pulak.  Fruit tart yang Datin Shen order tu abang letak  dalam fridge, kotak warna pink. Nanti driver dia datang ambil. Kalau ada order, tulis betul-betul,” berjela-jela Ikmal meninggalkan pesanan sebelum dia melangkah keluar.

Mendengar arahan bosnya itu, Iddin hanya mengangguk saja dan terus berjalan menuju ke dapur.

Baru beberapa langkah Ikmal berjalan, tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Kocek seluarnya diraba. Perlahan-lahan keluhan dilepaskan. Dia terus berpaling dan berjalan menuju ke café semula.

“Apahal lagi bos?” soal Iddin hairan. Terkejut dia tiba-tiba saja Ikmal menerjah ruang dapur semula. Baru saja hendak menyuapkan sebiji buah anggur ke mulut terus tak jadi.

“Tertinggal kunci,” jawab Ikmal selamba sambil mencapai kunci di atas meja dan terus pergi dari situ.

“Kalut betullah bos aku ni,” bebel Iddin sambil tersengih.

 

 

“Apasal ni?” soal Kamelia hairan. Wajah serabut sahabatnya itu dipandang tak beriak. Dahi Nigina disentuh perlahan. Okay aje tak demam pun. Bisiknya di dalam hati.

 "Why?” soal Nigina hairan. Tangan Kamelia sudah ditolak ke tepi.

“Aku tanya kau kenapa?” soal Kamelia lagi. “Kau tak sihat ke?”

Nigina mendengus keras. “Subjek ni buat aku nak muntah!” bebelnya keras sambil menunjukkan buku cardiovascular, respiratory, blood and blood forming organs di atas meja.

Kamelia tergelak. Dia tahu sahabatnya itu bila masuk saja subjek yang berkaitan dengan organ-organ dalaman itu memang selalu buat muka sakit.

“Kau ni pelik aku, kenapa dalam banyak-banyak subjek, kau alah dengan subjek ni? Sebab lecturer tu tak hensem eh?” soal Kamelia mengusik.

“That is not funny Lia, but seriously I hate this subject!” keras Nigina bersuara.

“Miss Nigina Rose Geofrey Adams...” ha kau, habis nama penuh Nigina disebutnya.

“Kalau kau asyik cakap benci memanglah sampai bila-bila kau tak akan suka subjek tu. Cuba kau selalu sebut, Oh! I love this subject, confirm lepas tu kau tak akan rasa nak muntah lagi,” sambung Kamelia lagi dengan gaya menggediknya.

Nigina memandang sahabatnya itu tajam.

“What a wonderful advice. Thanks miss Kamelia,” tuturnya sinis dan geram.

Kamelia tergelak lagi. Melihat kelat muka Nigina ketika itu tahulah dia sahabatnya itu tengah bengang. Malas untuk provoke lebih-lebih, dia terus mengangkat tangan tanda mengalah.

“Okay sorry, aku main-main ajelah. Macam ni, to say that I’m sorry, jom aku belanja kau pavlova or crepe. Aku tahu itu aje yang boleh mencairkan hati kau yang tengah beku ni,” pujuk Kamelia lembut. Bahu sahabatnya itu dipeluk kemas.

Nigina tersengih. “Serious?”

Kamelia mengangguk.

“Okay, but it’s all on you,”

Kamelia mengangguk. “Yup, all is on me,” balas Kamelia mengiakan. Lega hatinya bila melihat sahabatnya itu sudah tersengih lebar. Memang senang hendak memujuk anak mat saleh sorang ni, suakan aje pavlova, crepe atau kek coklat, akan senyumlah dia. Taktik itu jugalah yang selalu digunakan oleh Rashdan setiap kali kekasih hatinya itu merajuk.

 

 

 

 

Wednesday 7 November 2012

Biarkan Luka Itu Pergi....




PROLOG

Can you do it a little bit faster? I’m running out of time,”

Terdengar bebelan dari seorang pelanggan yang sedang menunggu giliran makanannya diambil oleh salah seorang pekerja di situ, Ikmal terus menoleh. Melihat gadis yang berambut perang itu sudah menarik muka bengang kerana lama menunggu Ikmal terus berjalan menghampiri gadis tersebut.

“Excuse me, can I help you,” soalnya sopan.

Gadis itu terus berpaling dan memandang Ikmal hairan. Berkerut dahinya memandang lelaki di hadapannya itu.

“I’m working here,” faham dengan cara pandangan gadis itu Ikmal memperkenalkan diri.
“Oh okay,” pendek gadis itu membalas.

“I want 6 pcs of that durian’s crepe and a dozen of that mini pavlova. Can you take it for me? I’m in a hurry,” sambung gadis itu lagi sambil jarinya ditunjukkan ke arah makanan yang diingininya.

Ikmal mengangguk dan terus berjalan memasuki ruang ke kabinet kaca yang diletakkan berbagai jenis pastry itu. Dua kotak plastik diambil. Durian crepe dan mini pavlova yang diminta diambil dan di letakkan ke dalamnya. Kemudian dia terus menuju ke kaunter bayaran dan menekan-nekan mesin tunai di hadapannya. 

“Sixty three ringgit,” tutur Ikmal sambil menancap pandang ke arah gadis di hadapannya itu.
Gadis itu mengangguk sambil jemarinya mula mencari-cari sesuatu di dalam beg sandangnya. Apabila barang yang di cari tiada di dalam beg itu, gadis itu mendengus perlahan.

“I’m sorry, I’ve to call my friend. I left my wallet in the car,” tuturnya perlahan dan dengan wajah yang sudah berubah riak.

Ikmal tersenyum dan mengangguk. “It’s okay. Take your time,”
Gadis itu mengangguk lagi kemudian telefon bimbit di dalam begnya diambil dan  ditekan-tekan. Dia beralih tempat ke tepi sedikit dari tempatnya berdiri tadi untuk memberi ruang kepada pelanggan lain membuat bayaran.

Ikmal hanya memerhati sahaja apa yang dilakukan oleh gadis itu sambil sesekali melayan pelanggan yang hendak membuat bayaran di hadapannya itu.

“Hello Lia, boleh tak hantarkan wallet I ke sini. I lupalah nak bawa tadi,”  tutur gadis itu perlahan tapi boleh didengar dengan jelas oleh Ikmal di tepinya.

Ikmal berpaling. Mendengar gadis itu fasih berbahasa melayu Ikmal sudah memandangnya hairan. Melihat dari raut wajah gadis itu dia amat pasti sekali gadis itu bukanlah orang melayu walaupun sudah ramai gadis-gadis melayu yang berambut perang dan bermata biru sekarang. Malas untuk menyibuk atau mengambil tahu, dibiarkan saja persoalan itu menerobos mindanya.

Setelah hampir sepuluh minit menunggu tiba-tiba gadis itu tersenyum apabila terpandangkan sahabatnya memasuki ruang café tersebut.

“Sorry Lia, susahkan you,” perlahan Nigina bersuara sebaik sahabatnya itu menghampirinya.

Gadis itu tersenyum. “It’s okay Gina. Ini wallet you,”

“Thank you,” wallet yang dihulurkan oleh  sahabatnya itu diambil dan dia terus ke kaunter bayaran semula.

“Sorry, keep you waiting,”

“Tak apa,” pendek Ikmal membalas. Sengaja membalas dengan bahasa ibunda, bahasa melayu. Note seratus ringgit yang dihulurkan oleh gadis itu diambil dan dipulangkan bakinya.

“Crepe dan pavlova awak,” tutur Ikmal lagi. Bungkusan ditangannya dihulurkan kepada gadis itu.
 
“Thank you,” balas Nigina perlahan dan terus mengambil plastik  yang dihulurkan oleh Ikmal sebelum beredar dari situ.

“Budak melayu ke tu bos? Saya ingatkan minah saleh mana tadi. Speaking London bukan main lagi tapi memang cun lah,” tegur salah seorang pekerja Little Pastry Lover’s Café itu sambil berdiri betul-betul di sebelah Ikmal. Matanya masih lagi tancap memandang ke pintu.
 
Ikmal memandang pekerjanya itu sambil tersenyum nipis.

“Tak payah nak menyibuk hal orang, pergi buat kerja,” tingkahnya perlahan sambil menepuk lembut hujung cap yang dipakai oleh pekerjanya itu sehingga menutup sebahagian mata lelaki itu dan terus berlalu menuju ke pantry.

Budak lelaki itu sudah tersengih apabila ditegur begitu sambil membetulkan cap di atas kepalanya itu.







Monday 15 October 2012

Teaser - Izinkan Ku Miliki Hatimu

















Izinkan Ku Miliki Hatimu...Prolog




“KAU tak baik cakap macam tu kat dia Mira. Kesian dia,” tingkah Irina geram. Wajah Mira di hadapannya dipandang tak beriak.

Mira ni memang perasan bagus betullah. Tahulah dia tu cantik tapi janganlah berlagak sangat, bebel Irina di dalam hati.

“Betullah apa yang aku cakap. Kalau setakat budak macam dia tu Rina, sekali aku petik jari, sepuluh mari, tahu tak,” balas Mira selamba sambil mengeluarkan baju dari dalam almari.

Irina sudah menggeleng mendengar kata-kata sombong yang lahir dari bibir sepupunya itu. Perlahan-lahan nafasnya dilepaskan.

“Tak baik betullah kau ni. Dia tu okey apa,” kata Irina lagi.

“Dah tu kau nak aku buat apa dengan dia? Nak aku peluk cium dia ke?” soal Mira sinis dan terus berpaling memandang Irina.

“Takkan berkawan pun tak boleh?” balas Irina.

Dia pun tak faham apa masalah Mira. Zairil Idham cuma menghulurkan salam persahabatan, yang Mira angin satu badan tu kenapa? Padanya Zairil Idham tu okey saja dan tak salah rasanya kalau berkawan. Ada kebaikan juga kalau berkawan dengan lelaki tu, maklumlah dia tu kan ketua pengawas. Kalau perlukan pertolongan, kan senang, getusnya di dalam hati.

“Pleaselah Rina, kau ingat aku ni siapa nak berkawan dengan dia. Tak setaraf okey!” bentak Mira seolah-olah tidak berpuas hati dengan soalan Irina.

“Mira, dekat sini kita semuanya sama. Dah lupa apa pesan daddy kau?”

“Kau ni tak habis-habis nak membela budak tu kenapa? Ke kau yang dah tersuka sangat pada dia?” tingkah Tengku Mira Kamilla keras sambil menjeling Irina di hadapannya itu.

Irina menggeleng lagi. Susah betul nak cakap dengan sepupunya yang seorang ni. Kata-kata dia saja yang betul. Pandangan orang lain langsung tak nak terima.

“Kau cakap apa ni Mira? Pada aku tak salah kalau setakat berkawan, jadi tak adalah orang ingat kita ni sombong sangat. Dah setengah tahun kita dekat sini, balik-balik aku tengok muka kau, kau tengok muka aku. Kau tak boring ke?” soal Irina dengan suara yang sedikit meninggi. Kali ini dia pula yang naik angin dengan perangai sepupunya itu.

Mira mendengus keras. Baju di tangannya dilemparkan ke atas katil untuk menunjukkan protes. Wajah Irina direnung dengan pandangan tajam.

“Kalau kau nak berkawan dengan dia atau sesiapa saja, kau pergilah tapi aku tak sukalah nak berkawan dengan orang yang tak setaraf ni. Lagipun kita dekat sini cuma untuk tahun ni aje. Aku dah cakap dengan daddy, tahun depan kita akan pindah balik KL. Aku benci duduk sini! Aku tak suka, tahu tak!” jerit Mira keras dan terus keluar dari situ. Pintu bilik dihempas sekuat hati.

Melihat tindakan sepupunya itu, Irina sudah diam tak berkutik. Perlahan-lahan nafasnya dihela sambil kepalanya digeleng.





Nantikan kemunculan karya kedua saya IZINKAN KU MILIKI HATIMU yang akan berada di pasaran Disember 2012...InsyaAllah.....Mari kita layankan teaser di atas...

Thursday 11 October 2012

Beijing... the memory remains....

Assalamualaikum dan selamat petang... wah rindu nak menulis di blog ni..sejak entry DAM dihentikan blog ni pun semakin terpinggir... huhuhu.. Tetiba hari ni saya ingin berkongsi mengenai perjalanan saya ke negara tembok besar China... pengalaman indah, pahit, payau yang tak mungkin saya lupakan.... mari menyelusuri liku-liku sepanjang lima hari saya di sana... hahahahaa... liku2 tu.. padahal cuma 5h 4m aje pun... <----koya betullah.... 

Perjalanan saya bermula pada 14 September 2012 jam 6.15pg dari Lapangan terbang Kuantan ke Kuala Lumpur dan transit terus ke Beijing.. setelah mengharungi perjalanan yang agak membosankan selama 6 jam akhirnya pada pukul 3 ptg kami menjejakkan kaki di lapangan terbang Beijing... wah masa tu bukan main semangat lagi maklumlah dah lama mengidam hendak menjejakkan kaki ke negara China dan akhirnya.... here I'm... excited you all... hehehee.....


Tapi dalam kegembiraan yang terover the pagar itu, berlaku insiden yang tidak dapat saya lupakan...nak nanges kat situ juga rasanya.... My luggage is still in Malaysia.... uwaaaaa..... how come????? Why meeee?????? Hati bukan main berdebar lagi almaklumlah my luggage sorang jer yang tertinggal, member lagi 4 orang semua dah dapat luggage masing2... so mulalah sesi soal jawab di lapangan terbang untuk menuntut luggage yang masih tertinggal di kuala lumpur... sekali lagi rasa macam nak putus nyawa bila pegawai2 di lapangan terbang tersebut tak pandai cakap omputih... uwaaaaa...nanges lagi... tapi nasib baik saya ada bawak kawan cina so kawan tu lah yang menjadi translator untuk urusan tersebut... fuhhh.. tarik nafas lega sekejap... 

Selesai urusan tersebut kitaorang pun keluar dan kami disambut oleh tour guide kami sepanjang di sana... mata sepet bukan main you all... nasib baik pandai cakap omputih walaupun ya ampunnnn.... bersabar sajalah... destinati pertama, kami dibawa menyaksikan acrobatic show... memang awesome...gila kentang korang persembahan dia orang....member yang 4 orang ni bukan main seronok lagi tapi saya masih dok risau memikirkan luggage...kalau luggage tu tak sampai macam mana nanti??? mulalah rasa macam nak bakor jer orang yang kerja angkat beg kat KLIA sana... &%#@$*!#@*<----ini sebab marah okay tapi confirm tak berani nak buat betul2... hahahaha....





Selepas selesai menyaksikan persembahan acrobatic, kita orang pun dibawa makan malam di sebuah restoran islam di sekitar bandar beijing... Alhamdulillah walaupun tak sesedap masakan kita di Malaysia tapi okaylah dari kebuluran sepanjang di sana...yang penting telur dadar tu...hahahahaa






Our daily breakfast...ini bukan dah tak boleh telan lagi ni tapi nak muntah terus.... pengsan.... 

 Pada pukul 8 malam kami terus dibawa check in ke hotel tempat kami akan menginap sepanjang 5h 4m di China... Beijing Mingri Wuzhou Hotel...nampak macam senang nak sebut kan tapi terbelit jugaklah lidah dibuatnya... pronounciation kena betul yer kalau tidak lain bunyinya... 5 hari duduk situ sebut asyik silap jer...last2 kita orang sebut hotel biri2...hahahahaa... Ok back to my luggage... hampir semalaman I tak tidur memikirkan luggage... sampai call airport berkali2 tanya and finally my luggage sampai jugak dimuka pintu hotel tepat pukul 6 pagi keesokkan harinya... wahhh.. Alhamdulillah....rasa nak peluk2 luggage tu....lega sebab tak payahlah I nak beli baju baru sepanjang di sana...korang bayangkan kalau luggage tu tak sampai bukan ke I kena beli baju nak pakai sepanjang 5 hari tu... and tidak ke Yuan yang ditukar untuk bergumbira terpaksa digunakan untuk beli baju sendiri saja....sadiss kan???? okaylah dah malas nak taip banyak2... jom kita tengok gambar2 sepanjang pengembaraan di sana...aksi mengedik tak ingat tu sila abaikan.... :-)


at Forbidden City... fuhhh!...almost 3km we all kena menapak...berpeluh sehhhh...


back view of forbidden city....lutut2 dah longgar masa ni... lenguh beb....


at local food street market...macam2 ada tapi sayangnya non halal....kita orang cuma mampu tengok saja...


cuba teka apa itu?????


Fuhh..ngeri I tengok ketam tu... hehehehe


at Great Wall... rasanya 3 hari 3 malam pun belum tentu dapat mengelilingi great wall ni... baru sampai stage 5 dah tak larat nak mendaki lagi...lembik sungguh... hahahaha

Nampak tak mangga2 tu??? okay simboliknya mangga2 itu diletakkan disitu sebagai tanda cinta oleh pasangan bercinta atau yang dah berkahwin...maknanya cinta sudah diikat mati dan sampai mati...so siapa2 yg sedang bercinta atau dah berkahwin bolehlah gi situ dan manggakan cinta anda...yg paling kelakar ada jugak letak mangga basikal kat situ...naik keras perut I and member2 gelak....x agak2 kan???? hahahahaaa



at Summer Palace...tempat ni sangat2 cantik... ni tempat raja2 cina dolu2 beristirehat atau bercuti... kalau nak rasa aura raja2 mehlah datang sini... hehe


infront of Summer Palace...

Bird nest stadium... alaaa tempat sukan olympic tu...

kat depan hotel...feeling2 sedih nak meninggalkan china...hahahaha...

at airport... tak kesabaran nak sampai malaysia...hehehee

Wahhhh!!! finally reached KLIA... fuhhhh! bernafas lega... 


Perjalanan 5h 4m tamat sudah... overall China memang tempat yang menarik untuk dikunjungi...macam2 sejarah yang saya belajar...Dari macam2 Dinasti... fuhhh...letih mokcik nak proses all the story mory....pening korang....tapi sebaik jejak kaki ke malaysia satu apa pun dah tak ingat sedangkan masa kat sana gigih menelaah bagai.... hehehehe So my next journey kalau diizinkan Allah dan diberi kesihatan.... I wish I can visit Korea and Japan.... so jom kumpul duit.... hehehehee... Daaaaaa....

Monday 3 September 2012

Dicintai atau mencintai....Bab 6


Petang itu Zariq terus membawa Qyra ke tapak chalet yang berada tidak jauh dari Villa Bahagia. Tujuan papanya membeli chalet tersebut sebenarnya bukan untuk tujuan komersial tapi lebih untuk ahli keluarga dan saudara mara. Bila-bila masa kalau ada saudara mara yang hendak bercuti boleh menginap di situ. Selain itu papa mahu menjadikan tempat itu sebagai tempat percutian tahunan untuk semua ahli keluarganya.

Zariq membawa Qyra melihat dari satu chalet ke satu chalet sambil menerangkan apa yang dikehendakinya. Qyra hanya mengangguk-angguk saja mendengar penerangan Zariq. Butir-butir penting yang dikehendaki oleh Zariq di catatkan di dalam buku nota yang dibawanya. Chalet-chalet batu tersebut sebenarnya masih cantik lagi cuma hendak diubahsuai menjadi chalet yang serba lengkap termasuk disediakan ruang untuk memasak dan balkoni untuk bersantai sambil dia harus mengambil kira hiasan dalamannya sekali.

“I rasa you mesti dah faham dan dah dapat gambaran apa yang I inginkan sebenarnya. So, I harap you boleh come out dengan design seperti apa yang I mahukan,”

Qyra mengangguk. “I akan ambil ukuran esok pagi,” balasnya pendek dan masih leka menulis sesuatu di atas buku nota ditangannya. Sesekali cap yang dipakai di kepalanya dibetulkan kedudukannya.

“Oh ya, ada satu lagi additional work yang you kena buat dan kerja ni tidak termasuk di dalam skop kerja yang sebelum ini,” tiba-tiba Zariq bersuara sambil menunjukkan ke arah satu bangunan chalet kayu 2 tingkat tidak jauh dari tempat mereka berdiri.

“Nak ubahsuai juga ke?” soal Qyra sambil matanya dihalakan ke arah bangunan tersebut.

Zariq mengangguk. “Yang tu I nak  ubahsuai jadi sebuah rumah 4 bilik, 2 bilik air yang lengkap dengan dapur,”

Qyra berjalan menghampiri rumah yang dimaksudkan oleh Zariq tadi. Zariq mengekor di sebelahnya. Sebaik sampai Zariq terus membuka mangga yang diletakkan dipintu utama kemudian pintu tersebut dibuka.

“Wow…this is the critical one!” terbeliak mata Qyra sebaik memerhati sekeliling chalet tersebut. Memang banyak kerja yang perlu di buat untuk chalet itu sahaja. Kena pecah sana sini.

“Kenapa?” soal Zariq hairan.

“Daripada you pecahkan dinding bilik-bilik ni semua bukankah lebih baik you dirikan yang baru saja? Lagipun I tengok dinding rumah ni pun dah tak berapa kukuh, I takut nanti akan rosak teruk bila kena pecah sana sini,” tutur Qyra memberi cadangan.

“Lagipun kos untuk ubahsuai mungkin akan menjadi dua kali ganda dari kos membina yang baru. I rasa you pun tentu tahu kan,” sambungnya lagi.

 Zariq terdiam sambil menganggukkan kepalanya mendengar kata-kata Qyra tadi. Memang betul pun apa yang dikatakan oleh Qyra tapi dia rasa sayang sangat hendak merobohkan rumah tersebut. Banyak kenangan yang tersimpan di rumah itu. Kenangan manis dan pahit semuanya ada di situ.

“Tak apa yang tu nanti I akan fikirkan semula. You just come out with your design first,”  akhirnya Zariq bersuara.

Qyra mengangguk saja dan terus memerhati keadaan sekeliling. Matanya liar memandang keadaan dalam rumah tersebut sambil mencatat sesuatu di dalam buku notanya. Sedang Qyra leka menulis dan melakar sesuatu dibuku notanya, tiba-tiba dia merasakan ada sesuatu sedang menggigit-gigit hujung seluarnya. Qyra terkaku. Tiba-tiba dadanya terasa berdebar semacam. Dengan perasaan yang berani-berani takut, Qyra memandang ke bawah kakinya dan di saat itu juga dia terus melompat dan menjerit di situ. Buku nota yang dipegangnya juga sudah dicampakkan entah kemana.

Zariq yang berada tidak jauh dari situ turut terkejut apabila mendengar jeritan Qyra dan terus berlari menghampirinya. Sebaik dia berada betul-betul di hadapan Qyra, tubuhnya terus dipeluk erat oleh gadis itu. Zariq terkedu.

“Qyra kenapa?” soalnya cemas. Qyra masih lagi memeluknya erat dan dia pula sudah  terkaku tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tapi dia dapat merasakan yang Qyra benar-benar di dalam ketakutan ketika itu. Matanya liar memandang sekeliling. Ada ular ke? Tapi dia tak nampak apa-apa pun.

Setelah hampir lima minit mereka berkeadaan begitu tiba-tiba Qyra melepaskan pelukannya. Itupun apabila dia tersedar dia sedang memeluk Zariq ketika itu. Qyra semakin terkedu dan menjadi semakin kalut.

“Errr…errr... sorry....ada tikus kat situ tadi...,” ucap Qyra dengan nada tersekat-sekat sambil menunjukkan ke arah tempat dia ternampak tikus tadi. Sudah tersipu-sipu dia di situ.  Malu! Kemudian tanpa menoleh ke arah Zariq dia terus meluru keluar. Laju saja langkahnya ketika itu. Aduhai..kenapalah dalam banyak-banyak hal perkara macam ini pula yang berlaku? Memang tikus ni saja je nak bagi aku sakit jantung agaknya! Kalau nak kacau pun agak-agaklah. Malu betul dia dengan kejadian yang berlaku sebentar tadi. Entah apa yang difikirkan oleh Zariq Asyraf agaknya. Aduh Qyra, jatuhlah saham kau….jeritnya di dalam hati.  

Zariq sudah tergelak kecil di situ. Laa…takut tikus rupanya. Nampak je macam ganas tapi dengan tikus pun tak berani. Gelaknya di dalam hati. Buku nota yang ditinggalkan oleh Qyra dikutip. Diselak-selak buku tersebut untuk melihat apa yang sibuk dituliskan oleh Qyra sedari tadi. Tiada apa yang menarik. Tiba-tiba dia terpandangkan penanda buku yang diselitkan ditengah-tengah buku nota tersebut. Dibelek-belek penanda buku tersebut dengan penuh minat. Terus penanda buku tersebut diambil dan dimasukkan ke dalam kocek seluarnya. Sekali lagi bibirnya menguntum senyum. Entah kenapa hatinya terasa lain macam pula ketika itu. Perlahan-lahan kepalanya digelengkan.

Sampai saja di Villa Bahagia, Zariq terus saja berjalan menuju ke bilik Qyra. Sebaik tiba di hadapan bilik, pintu bilik tersebut diketuk perlahan. Tidak sampai beberapa minit Qyra sudah terjengul di muka pintu.

“Your note book,” tutur Zariq sambil tersengih. Buku nota tersebut dihulurkan.

Qyra berdehem untuk menenangkan dirinya. “Hurm…thank you,” perlahan Qyra bersuara. Buku nota di tangan Zariq diambil. Wajah Zariq langsung tidak dipandang. Malu disebabkan kejadian tadi masih bersisa. Rasanya kalau boleh dia hendak terus saja balik ke KL di saat itu juga. Tak sanggup rasanya hendak berdepan dengan Zariq lagi. Tebal mukanya sudah lebih dari tiga inci rasanya. Apa tidaknya, selamba badak saja dia memeluk Zariq tadi. Kalau Amni tahu ni confirm 30 hari 30 malam dia akan ketawa tak berhenti.

“I harap dalam bilik ni tak ada tikus. Bukan apa I takut nanti ada orang tu lari masuk bilik I pulak,” usik Zariq selamba sambil tersengih.

Qyra sudah memandang tajam ke arah lelaki di hadapannya itu. Bengang betul. “Sengaja nak cari pasal betullah dia ni. Nanti aku hempuk dengan buku nota ni baru kau tau. Ada hati lagi tu nak buat lawak yang langsung tak lawak. Eiii…geram betul!” jeritnya di dalam hati.

Melihatkan jelingan tajam Qyra, semakin lebar senyum Zariq. “Hati-hati ya, kalau ada tikus lagi, I ada di bilik sebelah atau you nak tumpang bilik I, I okay aje,” usik Zariq nakal.

Qyra sudah menggigit bibirnya menahan geram. “In your dream!” balasnya keras.

Zariq terus tergelak sebelum terus berlalu dari situ.

Semakin sakit hati Qyra mendengar tawa lelaki itu. Dengan perasaan yang sebal pintu bilik itu terus dihempas kuat. Lelaki yang bernama Zariq Asyraf ini memang menyakitkan hati! benci! menyampah! Jeritnya lagi. Buku nota di tangannya terus dicampakkan ke atas katil. Sudah mendidih darahnya menahan geram. Ya Allah, nasib baiklah aku buat semua ini untuk Gemini, kalau tidak sekarang juga aku balik KL! Jerit Qyra dengan nada suara yang ditahan-tahan. Sabar Qyra sabar. Itu yang Amni selalu pesan setiap kali dia naik angin. Kata Amni lagi, sabar itukan sebahagian daripada iman kalau rasa nak marah teruslah beristigfar. Qyra terus menarik nafas perlahan dan beristigfar untuk menenangkan hatinya yang tengah panas.

Waktu makan malam itu kalau diikutkan hatinya yang bengang memang malas dia hendak turun tapi bila mak ngah memanggilnya sehingga ke bilik terpaksa juga dia mengalah. Nanti apa pula yang difikirkan oleh orang tua itu. Melihatkan muka selamba Zariq dimeja makan, bukan main menyampah lagi dia rasa. Kalau diikutkan geram rasa hendak di backhand saja si Zariq tu tapi disabarkan saja hatinya.

“Ni I dah suruh mak ngah masakkan lauk ayam masak kicap untuk you. Biasanya masakan macam ni standard anak-anak saudara I je,” tutur Zariq sambil tersengih. Wajah Qyra dipandang sekilas. Mencuka saja wajah gadis itu bila diusik begitu. Suka pula dia  bila dapat mengusik Qyra begitu. Selalunya dia saja yang terkena, sekarang bila Qyra terdiam tak terkata dia merasa seperti kemenangan sudah berada di pihaknya pula. 

Qyra menjeling Zariq tajam. Semakin geram dan sakit hati dengan lelaki  di hadapannya itu. Kalau diikutkan hatinya mahu saja dia terus masuk ke biliknya. Tapi mengenangkan mak ngah yang turut makan bersama malam itu dia terpaksa saja buat muka terpaksa rela. Nanti kau Zariq. Ada lori ada bas, ada hari aku balas! tekadnya di dalam hati.

“Riq, tak baik cakap macam tu,” tegur mak ngah bila melihat wajah Qyra yang sudah berubah kelat.

Zariq hanya tersenyum saja ditegur begitu.

“Qyra, makanlah. Jangan dilayan si Zariq tu. Dia memang suka mengusik,” pujuk mak ngah  lembut. Kesian pula rasanya.

Qyra mengangguk saja. Terasa sejuk pula hatinya dipujuk begitu. Tiba-tiba terasa rindu pula dengan mama. Selalunya kalau dia merajuk begitulah mama akan memujuknya.

Selesai makan Qyra turut ke dapur membantu mak ngah apa yang patut. Puas ditegah tapi dia tetap berkeras hendak membantu. Tak kanlah dia hendak biarkan saja mak ngah buat semua itu sedangkan mak ngah sudah bersusah payah memasak untuknya. Terpandangkan mak ngah yang lincah di dapur ketika itu, dia terus teringatkan mak Jah pula. Rindu dengan mak Jah datang tiba-tiba. Sedari kecil mak Jah lah yang banyak menjaganya dan kak long sebab mama dan papa selalu sibuk dengan urusan syarikat.

“Zariq beritahu mak ngah Qyra ni girlfriend Azmin. Betul ke?’ soal mak ngah tiba-tiba.

Qyra berpaling dan memandang mak ngah sambil tersenyum. Soalan jenis apalah yang ditanya oleh mak ngah ni. Ish…ish…ish…nampaknya hubungan aku dengan Azmin telah disalah ertikan oleh ahli keluarganya.

“Qyra dengan Azmin kawan baik sajalah mak ngah. Tak lebih dari tu,” jujur Qyra menerangkan duduk perkara sebenar.  

“Oh ye ke? Maaflah kalau mak ngah menyibuk,”

“Tak apa, mungkin sebab Qyra dengan Azmin rapat jadi Zariq ingat Qyra girlfriend Azmin,”

“Tapi Azmin tu kan baik, hensem pulak tu, tak kan Qyra tak berkenan dengan dia?” soal Mak Ngah cuba menduga. Wajah manis gadis di hadapannya itu direnung lama.

Qyra tergelak kecil. “Azmin memanglah baik. Tersangat baik, tapi Qyra senang berkawan aje dengan dia.” Memang itulah yang selalu di sebutkan kepada Azmin sebab dia tak nak Azmin salah faham nanti. Dia memang senang sangat berkawan dengan Azmin dan dia tidak mahu ikatan persabahatan itu berubah menjadi lebih dari itu. Kerana selama ini hanya Azmin sahaja yang benar-benar memahami sikapnya dan mengerti apa yang dia inginkan.

Mak ngah mengangguk tanda mengerti. “Ye lah, soal cinta ni mana boleh dipaksa-paksakan tapi kalau Azmin betul-betul sukakan Qyra macam mana?”

Qyra sudah terdiam. Tiada jawapan untuk soalan yang satu itu. Tapi tak mungkin Azmin akan sukakan dia sebab Azmin tak pernah pun meluahkan apa-apa selama ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...