Followers

Wednesday 10 May 2017

Bab 8






Setelah mengharungi perjalanan hampir empat jam, akhirnya mereka sampai juga ke tempat yang di tuju. Sebaik menghantar Shaqir ke rumah ibu saudaranya, Redza rerus memandu keretanya ke rumah orang tuanya. Masuk sahaja ke perkarangan rumah, kereta kereta terus diparkirkan. Enjin dimatikan dan dia terus keluar. Jeslina ikut sama keluar. Elok kaki berdiri di muka tangga, salam dilaung.
Senyap.
Salam dilaung lagi dan masih juga tiada sesiapa yang menyahut. Dengan kerutan di dahi, rumah yang kelihatan sunyi itu diperhati. Semuanya bertutup. Puas ditelek sekeliling tetapi sepi sahaja. Salamnya juga langsung tiada yang sambut. Pelik, kemana pula kedua-dua orang tuanya pergi? Bukankah sudah diberitahu dari seminggu yang lepas lagi yang mereka akan balik hari itu?
"Sunyi aje rumah mak abang ni. Tak ada orang ke?" Jeslina turut kerutkan dahi. Tak mungkin orang tua Redza tiada sedangkan mereka tahu dia dan Redza akan balik ke kampung bersama.
Redza jungkit bahu. Salam dilaung lagi semakin lantang dari tadi. 
Masih senyap dan tiada jawapan. 
"Pelik ni. Mana mak dengan abah dah pergi?" keluhnya perlahan.
"Abang tak cuba call?" Redza dipandang semula. 
Redza lepaskan tawa kecil dan dahinya digaru. "Iyalah, kenapa abang tak terfikir dari tadi?" Balasnya dan telefon bimbit di dalam kereta terus diambil. Nombor telefon abahnya didail. Lama menunggu dan akhirnya panggilannya bersambut. Setelah berbual seketika, talian dimatikan. 
"Macam mana?" cepat sahaja Jeslina bertanya. Apa tidaknya, risau juga dia dengan keadaan mereka sekarang.
"Mak dengan abah ke rumah Ateh dekat Raub sebab adik abang tu bersalin pagi tadi. Bersalin anak pertama tu yang kalut orang tua tu." Beritahunya. "Pergi pun tergesa-gesa sampai terlupa nak call abang beritahu." Sambungnya bersama keluhan kecil.
"Habis tu sekarang macam mana? Tak kan Jes nak duduk berdua aje dengan abang?" Jeslina kerutkan dahi. Berdebar pula rasanya apabila memikirkan tentang hal itu. 
Tawa Redza terus terhambur. Wajah tunang yang sudah berubah kalut itu dipandang gelihati. 
"Sayang, takkan abang nak ambil risiko duduk berdua dengan sayang dalam satu rumah? Memanglah best sebab dapat kahwin cepat kalau tiba-tiba kena tangkap tapi abang tak suka ambil kesempatan dengan cara macam tu. Abang pinang sayang dengan baik jadi urusan pernikahan dan perkahwinan juga biarlah dengan cara yang baik juga." balasnya lembut. "Abang nak perkahwinan kita menjadi satu kenangan terindah dalam hidup abang tapi bukan dengan cara macam tu. Dengan memalukan keluarga."  Ucapnya sambil lembut mata menala pandangan ke arah tunang di hadapannya.
Jeslina turut tersenyum. Lega rasanya mendengar kata-kata Redza tadi. Dia tahu Redza bukan jenis lelaki yang suka mengambil kesempatan. Selama mereka bersama, tidak pernah sekalipun Redza melakukan sesuatu yang melebihi batasan. Memang betul sangat apa yang Aton katakan, dia memang bertuah memiliki lelaki seperti Redza. Maklumlah, lelaki yang baik bukan senang dicari jadi bila ada di hadapan mata tak mungkin dia akan lepaskan.
"Habis tu sekarang macam mana? Jes nak tidur mana?" Sibuk memuji tunang sendiri sampai terlupa di mana mereka sekarang.
Redza terdiam sambil berkerut-kerut dahi memikir. 
"Ada hotel tak? Biar Jes tidur dekat hotel ajelah." Jeslina memberi cadangan. Dia bukannya ada saudara mara di situ jadi ke mana lagi yang dia boleh pergi? 
"Ermmm...apa kata sayang tidur rumah Shark untuk malam ni. Kalau sayang dekat sana abang tak risau sangat sebab ada mak ngah dan adik perempuan Shark buat teman." tidak bersetuju dengan cadangan Jeslina, Redza memberi cadangan lain. Di situ bukannya tiada hotel tapi rasa tak betah pula membiarkan tunangnya itu bermalam agak berjauhan dari kampung dan ditempat yang asing begitu. 
"Shark?!" Bulat mata Jeslina memandang Redza. Tubuh yang sedari tadi bersandar di pintu kereta terus ditegakkan. Redza gila nak suruh dia bermalam di rumah Shaqir? Oh, tidaklah!
"Untuk malam ni aje sayang. Lagipun ada makcik dan adik Shark sekali bukan bermalam berdua aje dengan dia." pujuk Redza lembut. 
"Malulah!" Tangan dipelukkan ke tubuh. Sebenarnya bukan malu tetapi lebih kepada tidak selesa atau malas berdepan dengan lelaki itu. Berada di dalam satu kereta pun dah rasa semacam inikan pula hendak duduk serumah walau untuk semalaman.  "Biar Jes stay dekat hotel ajelah." tolaknya lagi. 
"Hotel jauh sikit dari kampung ni. Lagipun abang tak sampai hati nak biarkan sayang stay dekat hotel seorang." 
"Better hotel dari rumah Shark, abang." tegas Jeslina lagi. Dengusan kecil dilepaskan.
"Sayanggg...janganlah macam ni. Okey, kalau sayang malu, apa kata malam ni abang ikut tidur di rumah Shark. Macam mana?" 
Senyap. 
Melihat tunang yang sudah membisu ditempatnya, Redza tersenyum. "Orang kata diam tu tandanya setuju.  So, abang anggapkan sayang setuju ya dengan cadangan abang tadi?" Sengaja dia memerangkap Jeslina dengan kenyataan begitu. Biar tunangnya itu tidak mampu hendak menolak lagi.
Jeslina mendengus. Redza dijeling. 
"Janganlah buat muka macam tu. Abang lagi suka tengok muka manis tunang abang dari muka yang masam mencuka macam ni." giat Redza dengan senyuman. 
"Abang ni..." terusik dengan kata-kata Redza, Jeslina tersenyum malu. Ermm…pandai sahaja Redza mengambil hatinya.
"Dah boleh senyum tu kira okeylah tu kan? So, jom kita ke rumah mak ngah, Shark. Lagipun dah lewat ni abang belum solat zohor lagi. Sayang pun tahu kan tak baik melambat-lambatkan solat." Ajaknya.
Apabila soal ibadah dibangkitkan, Jeslina akhirnya terpaksa akur. Dalam keadaan separuh rela, pintu kereta dibuka dan tubuh terus diloloskan di dalam perut kereta.


“Jemput minum.” Pelawa mak ngah Iman, ramah.
“Maaflah mak ngah menyusahkan mak ngah hari ni. Kalau ikut tunang saya ni, dia nak bermalam di hotel aje tapi saya yang tak izinkan. Hotel sudahlah jauh dari sini, dia sorang-sorang pulak tu.” Balas Redza panjang lebar. Nasib baiklah hubungannya dengan mak ngah Iman sudah seperti keluarga sendiri jadi tidaklah malu hendak meminta pertolongan begitu.
“Allah, kamu Redza. Macam tak biasa pulak dengan mak ngah. Si Jes ni menumpang setakat semalam aje, tak adalah menyusahkan pun. Nak tumpang lama sikit pun tak apa, mak ngah lagi suka.” Pintas mak ngah bersungguh. Jeslina dan Redza dipandang silih berganti.
“Haish, mana boleh lama-lama mak ngah, lusa dah nak balik.” Balas Redza dengan tawa dihujung suaranya.
“Hurmm…kamu ni.  Sesekali balik cubalah lama sikit. Sudahlah susah nak balik kampung. Sama aje macam Shaqir ni. Puas dah mak ngah suruh balik, macam-macam alasannya.” Mak ngah Iman sudah mula membebel. Shaqir dijeling.
“Mak ngah…” laju Shaqir menyampuk. Sebelum mak ngah nya membebel lebih panjang lagi, lebih baiklah dia mencelah dulu. Kalau tidak, meleret-leret nanti bebelannya.
“Betullah apa yang mak ngah cakap tu. Kamu tu, dah dekat tiga bulan tak balik. Sibuk memanjang. Ini pun dah puas mak ngah call barulah nak balik.” Bedil mak ngah Iman lagi.
Shaqir tersengih. Dengan kerutan di dahi, rambutnya digaru.
Redza yang melihat sahabatnya dibebel, hanya tersengih sahaja. Dia bukan tak tahu, sibuk dan Shaqir memang tak dapat dipisahkan.
Puas membebelkan anak saudara sendiri, mak ngan Iman menoleh ke sebelah pula. Terpandangkan Jeslina yang hanya diam membisu ditempatnya, gadis itu ditegur. “Minum Jes. Kenapa ditengok aje air tu?” ramah dia bersuara.
Perlahan-lahan Jeslina anggukkan kepala.  “Terima kasih mak ngah. Terima kasih juga sudi tumpangkan Jes bermalam di sini.” ucapnya dengan senyuman. Mulanya dia rasa tidak selesa tetapi apabila melihat layanan baik mak ngah Iman sejak tadi, lega pula hatinya. Apa yang paling dia suka sejak menjejak masuk ke rumah kampung separuh batu itu adalah dapat melihat Shaqir dibebel begitu. Hurmm…padan muka. Memang puas hati dia! Ejeknya dalam hati.
Mak ngah Iman menggeleng. “Perkara kecil aje Jes. Minum dulu. Lepas tu boleh masuk bilik Intan. Berehat-rehat dulu. Mesti penat jalan jauh.” Suruhnya. “Intan, lepas ni bawa kak Jes masuk bilik” Intan yang sedang duduk tidak jauh dari situ dipandang.
Intan hanya mengangguk sahaja. “Kalau kak Jes nak masuk bilik, jomlah.”ajaknya.
“Biarlah kak Jes minum dulu.” Celah mak ngah Iman bersama gelengan. Tetamu belum sempat menjamah air sibuk diajaknya ke bilik. 
Jeslina tersenyum. Pantas cawan di atas meja dicapai dan dihirup. Sebaik meletakkan semula cawan tersebut ke atas meja, dia terus berdiri.
“Shark, jom solat dekat surau. Lama dah tak jengah surau kampung.” Celah Redza sambil menala pandang ke arah Shaqir di sebelah.
Shaqir berdeham dan terdiam seketika. Kepala diangkat dan saat itu juga pandangannya dan Jeslina bersatu. Ketika mata bertaut, bibir terus menguntum senyum dengan semanis yang mungkin.
Tergamam melihat riak Shaqir ketika itu, cepat-cepat Jeslina palingkan wajah dan buka langkah.  Laju kaki diayun menghampiri Intan. Entah kenapa, pandangan dari sepasang mata galak lelaki itu membuatkan hatinya bergetar lagi.
Melihat Shaqir yang begitu ralit memandang Jeslina, Redza mendengus perlahan. “Shark!” Bahu sahabatnya itu ditepuk. Amboi, bukan main lagi merenung tunangnya. Panas pula hatinya melihat keadaan itu. Orang lain mungkin dia tidak kisah tetapi kalau Jeslina memang dia terlalu ambil kisah.
“Huh!” Terkejut diperlakukan begitu, cepat-cepat Shaqir berpaling.
“Tengok apa?”
Laju Shaqir gelengkan kepala.  “Tak ada apa.” Balasnya teragak-agak dan bingkas bangun. Bersama dehaman, Redza dipandang semula. “Ha, tadi kata nak pergi surau, jomlah.” Tegurnya apabila Redza masih duduk ditempatnya. Tidak menunggu lagi dia terus buka langkah. Sebenarnya kalut juga dia disergah begitu dengan Redza tadi. Kalau dia bukan sesiapa dengan Redza, entah-entah sudah lebam biji matanya dikerjakan. Shark…Shark…kalau nak tengok pun pandai-pandailah cover line. Tunang orang tu! Haish!
Dengan riak yang masih seperti tadi, Redza ikut bangun dan mengekor di sebelah Shaqir.
“Masuklah kak. Bilik Intan ni kecil aje. Maaflah kalau tak selesa.” Malu-malu Intan bersuara. Bilik rumah kampung yang hanya seluas sepuluh kali sepuluh kaki itu dipandang seolah itulah kali pertama dia masuk ke dalam bilik itu. Melihat cadar katil yang sedikit renyuk cepat sahaja langkah diatur menuju katil dan cadar dikemaskan.
“Tak apa, Intan. Kak Jes okey aje. Tak payah nak beria.” Melihat Intan yang segan-segan menunjukkan biliknya, Jeslina tersenyum. Bukannya dia tidak pernah tinggal di kampung, malah keadaan begitu sudah biasa baginya.
Intan tersengih walau dalam keadaan tersipu-sipu.
Beg pakaian yang dibawa diletakkan ke atas lantai dan Intan dihampiri. “Intan belajar lagi?” soalnya sebaik duduk di birai katil. Sengaja hendak beramah mesra.
“Belajar.” Sepatah soalannya dibalas.
“Tingkatan berapa?”
“Lima.”
“Tahun ni SPM lah ya?” Jeslina masih terus beramah mesra walau Intan seakan malu-malu hendak membalas setiap patah katanya.
Intan mengangguk.
Jeslina terdiam dan senyum. Dia pasti Intan tentu malu dengan kehadirannya di situ. Apa tidaknya, soalan-soalannya hanya sepatah sahaja dijawab.
“Hurmmm…kak Jes nak solat dulu. Dah nak masuk pukul tiga dah ni. Boleh Intan tunjukkan arah kiblat dan bilik air?” Jeslina terus berdiri dan menamatkan perbualan mereka.
Bersama anggukan, Intan turut berdiri. Arah kiblat ditunjukkan dan dia terus mengajak Jeslina keluar untuk menunjukkan bilik air yang terletak bersebelahan dapur.
Jeslina akur dan mengekor sahaja di sebelah gadis itu. Tak apa, malam nanti dia masih ada masa untuk berbual mesra. Bisiknya dalam hati.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...