Followers

Wednesday, 1 June 2016

Misi Curi Hati Dia - Bab 9

FATHIA meletakkan beg bajunya ke dalam almari yang disediakan. Kemudian dia berjalan menuju ke meja solek dan beg tangannya diletakkan di situ. Tudungnya dibuka dan ikatan rambutnya dilepaskan. Perlahan-lahan rambutnya diraup dan dikemaskan dengan jari. Fathia membuka beg tangannya dan telefon bimbitnya dikeluarkan. Nombor telefon Khairul terus di dail. Salam dihulurkan sebaik panggilannya berjawab. Terdengar juga lembut Khairul membalas salamnya.
“Tia dah berada di KL sekarang. Malam nanti Tia ambil Emil ya,” ucap Fathia perlahan dan terus duduk di kaki katil.
“Biar abang ambil Tia. Kita celebrate birthday Emil sama-sama,” lembut Khairul bersuara.
Fathia terdiam seketika. Sudah berkerut dahinya sebaik mendengar kata-kata Khairul tadi.
“Abang, bukankah abang dah janji dengan Tia untuk izinkan Tia celebrate birthday Emil berdua aje?” soal Fathia sedikit geram.
“Tia bukankah lebih baik kalau kita celebrate sama-sama. Emil mesti suka kalau kita berdua ada bersama-sama celebrate birthday dia,” pujuk Khairul lembut.
“Tia tahu abang tapi untuk kali ini saja Tia minta abang izinkan Tia celebrate berdua saja dengan Emil. Please.” rayu Fathia lagi. Dia tak mahu Khairul turut serta kerana dia tak mahu kegembiraannya dan Emil akan tergugat nanti. Dia amat pasti Khairul akan mengambil peluang itu untuk mengungkit kembali tentang cadangannya sebelum ini.
“Tia janganlah macam ni. Apa salahnya kalau abang ikut sekali? Tia tak nak ke Emil gembira. Tia, Emil mesti mengharapkan kita, mama dan papa dia untuk menyambut hari lahir dia bersama-sama. Lagipun Tia kena ingat, tahun lepas kita celebrate birthday dia sama-sama kan. Jadi kenapa tahun ni kita kena celebrate asing-asing? Tak kan Tia nak Emil sedih?”
Fathia mengeluh perlahan. Sungguh kali ini dia mati kata-kata. Permintaan Khairul tak mampu untuk disanggah lagi. Mama buat semua ni demi Emil..semuanya kerana Emil, bisik Fathia dalam hati. “Baiklah kalau macam tu. Kali ini Tia ikut cakap abang tapi Tia buat semua ini kerana Emil. Abang kena ingat tu,”
“Abang faham Tia. Abang ambil Tia pukul 8 malam nanti ya,”
“Hurm. baiklah,” lambat-lambat Fathia membalas. Sebaik talian dimatikan, satu keluhan berat dilepaskan. Kepalanya ditundukkan memandang lantai. Percaturan apakah yang sedang diaturkan untuknya kali ini? Bisiknya perlahan.
“Tia, kau kenapa?” tegur Suhaili lembut. Melihat keadaan sahabatnya itu dia tahu pasti ada sesuatu telah berlaku.
Fathia mendongak. Wajah Suhaili dipandang tak beriak.
“Aku akan celebrate birthday Emil dengan Khairul. Kau nak ikut sekali ke?” perlahan Fathia menyoal.
“Eh Tia, bukan kau kata Khairul dah izinkan kau celebrate berdua dengan Emil ke?” tidak menjawab Suhaili menyoal Fathia semula.
Perlahan-lahan Fathia melepaskan keluhan.
“Itulah yang aku sakit hati ni. Tiba-tiba dia beritahu aku tadi nak celebrate birthday Emil bersama. Aku serabut betullah dengan dia Elly,” tutur Fathia geram.
Suhaili berjalan menghampiri sahabatnya itu. Bahu Fathia dipeluk kemas.
“Tia jangan macam ni. Aku rasa bagus juga kau berdua celebrate birthday Emil bersama. Aku rasa Emil mesti mengharapkan kau orang berdua ada bersama. Fikirkan Emil Tia, Khairul tu kau anggap aje dia tak ada kat situ nanti,”
Mendengar kata-kata Suhaili tiba-tiba Fathia tergelak kecil. Nasib baik kau ada Elly.
“Disebabkan Khairul ada sekali, aku tak jadi nak ikut. Aku malaslah nak kacau majlis kau orang,” sambung Suhaili lagi.
“Elly janganlah macam tu. Kau kata nak jumpa Emil kan?” soal Fathia memujuk.
“Tak apa, masa balik esok boleh jumpa. Kau tolong peluk cium Emil bagi pihak aku eh,” balas Suhaili sambil tersengih.
Akhirnya Fathia tersenyum dan mengangguk. Dia pun tak mahu memaksa kerana dia tahu Elly tak berapa suka berjumpa bekas suaminya itu.
“Oh ya, aku pinjam kereta kau eh, aku nak pergi tempat adik aku,”
“Pakailah Elly. Kalau kau nak bermalam dengan Zati pun aku tak kisah,”
Mendengar kata-kata sahabatnya itu, Suhaili sudah tersengih.

MAMA!
Fathia berpaling. Terpandangkan Emil yang sedang berjalan menghampirinya Fathia tersenyum.
“Hai sayang,” panggil Fathia lembut dan terus memeluk tubuh kecil itu. Kedua-dua pipi Emil terus dicium berulang kali.
Happy birthday, sayang,” bisik Fathia lagi dengan senyum lebar terukir di bibir.
Emil tersenyum. Pipi Fathia turut dicium.
“Okey, mari kita pergi sekarang. Nanti lambat pula,” sampuk Khairul yang hanya memerhati sahaja sedari tadi.
Fathia mendongak kemudian mengangguk. Dia terus berdiri dan tangan Emil dipimpin.
“Kita nak ke mana ni?” soal Fathia sebaik masuk ke dalam perut kereta. Emil diletakkan dipangkuannya.
“Abang dah buat reservation di Istana hotel,” balas Khairul dengan senyum terukir dibibir. Kereta BMW nya itu terus dipandu ke tempat yang ingin dituju.
Fathia mengangguk kemudian pandangannya dialihkan ke arah Emil di hadapannya. Rambut dan baju yang dipakai oleh Emil dikemaskan. Rindunya dia pada si kecil itu tak terucap. Kalaulah dia diberi peluang untuk menjaga Emil, akan dia gunakan masa yang ada itu dengan memberi kasih sayang sepenuhnya pada si kecil itu. Sekali lagi pipi Emil menjadi habuannya. Diciumnya pipi si kecil itu berkali-kali. Emil sudah mengekek kegelian diperlakukan begitu.
“Sayang anak mama ni,” bisik Fathia perlahan.
“Emil sayang mama juga,” petah Emil membalas.
“Okey, cuba cerita dengan mama apa yang Emil buat hari ni,” soal Fathia sambil memeluk pinggang si kecil itu. Wajah Emil dipandang sayang.
Emil terdiam seketika kemudian dengan polosnya dia terus bercerita apa saja yang dilakukannya sepanjang hari itu kepada mamanya. Fathia pula hanya mampu tersenyum dan sesekali tergelak mendengar cerita si kecil itu. Terhibur rasa hatinya mendengar celoteh dari bibir mongel itu.
Khairul yang mendengar perbualan kedua-duanya sedari tadi hanya tersenyum saja. Mendengar betapa petahnya Emil berbicaranya dengan mamanya kadang-kadang dia turut tergelak geli hati. Bila melihat keadaan itu rasa penyesalannya tak terkata. Kalaulah dia mampu untuk undurkan masa pasti semua itu tidak akan berlaku. Kalau dia tidak mengikut kata hati dulu pasti jalannya dan Fathia tidak akan sesukar ini.
Khairul menyerahkan kunci keretanya kepada car jockey di situ dan dia terus berjalan menghampiri Fathia dan Emil yang sedang menanti di muka pintu.
“Jom,” ajaknya lembut. Sebelah lagi tangan Emil dicapai dan dipimpin.
Fathia mengangguk dan mengekor saja langkah lelaki itu.
“Tempat kita dekat sana,” tutur Khairul perlahan sambil menunjukkan ke arah meja yang tertulis namanya.
Tidak bersuara Fathia mengekor sahaja. Sebaik mereka duduk, seorang pelayan datang menghampiri mereka. Selesai mengambil pesanan, pelayan itu terus berlalu dari situ. Hampir lima belas minit menunggu, hidangan mereka pun sampai bersama sebuku kek coklat yang sememangnya menjadi kegemaran Emil. Melihat kek coklat tersebut Emil sudah tersengih kegembiraan. Fathia dan Khairul turut tersenyum melihat riak ceria si kecil itu.
Khairul terus memasang lilin di atas kek tersebut. Sebaik lilin dipasang mereka bersama-sama menyanyikan lagu selamat hari jadi untuk anak kesayangan mereka itu. Emil pula hanya tersengih saja di situ. Habis enam batang lilin tersebut ditiup, Fathia terus mencium pipi Emil diikuti oleh Khairul pula.
Happy birthday, sayang. Semoga menjadi anak yang soleh dan mendengar kata,” ucap Fathia lembut.
Happy birthday, Emil. Papa doakan Emil akan berjaya di dunia dan akhirat,” ucap Khairul pula.
Emil masih lagi tersenyum ceria.
“Okay sekarang beritahu mama apa permintaan Emil pulak,” soal Fathia sambil merenung sayang anak lelaki di sebelahnya itu.
Emil terdiam. Wajah Fathia dan Khairul di pandang silih berganti kemudian dia tersenyum. “Emil nak mama dan papa tinggal bersama-sama Emil,”
Mendengar tulus luahan hati si kecil itu Fathia terus terdiam. Mati senyumnya tiba-tiba. Khairul juga terdiam hanya matanya saja tajam merenung Fathia di hadapannya.
“Insya-Allah sayang, papa janji akan bawa mama balik tinggal dengan kita semula,” yakin Khairul bersuara.
Fathia sudah mati kutu. Semakin serabut jiwanya mendengar kata-kata lelaki itu. Perlukah dia berkorban demi Emil? Demi kebahagiaan Emil?
“Tia, abang nak beritahu sesuatu,” perlahan Khairul bersuara. Wajah Emil yang sedang leka menikmati makanannya itu dipandang sekilas.
“Apa dia?”
“Esok Emil akan berangkat ke England ikut mama. Emil akan berada di sana tiga bulan,” sambung Khairul lagi.
Fathia terus meletakkan sudu dan garpunya semula. “Kenapa esok Emil nak pergi baru hari ni abang beritahu Tia?” soal Fathia sedikit keras.
“Tia, perkara ni pun baru semalam mama beritahu. Mama yang uruskan semuanya. Abang pun tak boleh nak kata apa-apa lagi,”
Fathia mendengus keras. Perancangan tiba-tiba itu memang menyesakkan dadanya. Ini bermakna selama tiga bulan itu dia tidak akan berpeluang bertemu dengan Emil langsung. Perlahan-lahan nafasnya di hela berat. Sudahlah susah untuk bertemu sekarang ia menjadi semakin sukar. Kalaulah dia berani hendak berdepan dengan Datin Zaharah pasti dia tidak akan teragak-agak untuk mendapatkan hak ke atas Emil.
“Tia, tiga bulan aje Emil pergi. Itu pun kalau mama nak stay lama kat sana,” pujuk Khairul lembut. Dia tahu Fathia tak suka. Melihat air muka Fathia saja dia tahu.
“Abang, tiga bulan tu lama. Sudahlah Tia cuma boleh jumpa Emil sebulan hanya beberapa kali saja,” luah Fathia geram.
“Abang tahu Tia, sebab itulah abang minta Tia fikirkan permintaan abang. Kalau Tia setuju, Tia tak perlu berpisah dengan Emil lagi,” pujuk Khairul lagi. Inilah peluangnya untuk mengungkitkan semula tentang cadangannya itu. Sudah hampir dua minggu dia menunggu tetapi Fathia langsung tidak memberi sebarang jawapan lagi.
“Abang, Tia masih fikirkan tentang hal tu,”
“Tia.” panggil Khairul lembut.
“Abang, please, jangan terlalu memaksa,” rayu Fathia perlahan. Pandangannya dibuangkan jauh ke hadapan. Memang dia sudah mengagak Khairul tidak akan melepaskan peluang untuk mengungkit tentang hal tersebut. Serabut!
Tidak mahu mengeruhkan lagi suasana akhirnya Khairul mengangguk. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...